Karikatur Hina Nabi Jelas Langgar Nilai Moral Dan Etika

Penerbitan karikatur dalam sebuah majalah Perancis yang menghina Nabi Muhammad S.A.W baru-baru ini melanggar nilai moral dan etika walaupun karikatur itu dianggap tidak melanggar undang-undang di negara berkenaan.

Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Pergerakan Kesederhanaan Global (GMMF), Khalek Awang berkata, meskipun Charlie Hebdo dianggap tidak melanggar undang-undang Perancis tetapi individu tersebut telah melanggar nilai yang diterima pakai semua umat Manusia.
 
“Walaupun Hebdo tidak melanggar undang-undang Perancis dalam menerbitkan karikatur, GMMF membantah terhadap pengabaian nilai moral dan etika serta sengaja mewujudkan provokasi pada masa yang mencabar ini.

“Tiada sesiapa harus mempertahankannya apatah lagi dalam konteks kebebasan bersuara kerana hak ini tidak mutlak. Dalam era globalisasi ini, tiada sesiapa boleh membuat sebarang komen yang mencetuskan keganasan seperti yang kita saksikan sejak dua minggu lalu,” katanya melalui satu kenyataan media hari ini.

Justeru, Khalek menggesa golongan sederhana di seluruh dunia untuk bersatu menentang fabrikasi golongan pelampau dari apa jua agama dan kepercayaan demi kesejahteraan manusia sejagat.

Menurutnya, golongan sederhana dalam semua agama dan kepercayaan mesti menenggelamkan suara-suara pelampau dan menafikan mereka daripada melakukan insiden seperti itu termasuk penerbitan filem anti- Islam `Innocence of Muslims.

Sehubungan itu juga, kata beliau, GMMF menyeru umat Islam terus tabah menangani isu tersebut dan mengelak melakukan keganasan untuk menunjukkan rasa tidak puas hati.

Jelas beliau, setiap orang mempunyai kewajipan moral dan etika untuk terus wujud secara aman, dan bersama-sama memupuk toleransi dan hormat menghormati antara satu sama lain. – mynewshub.my

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan komentar anda untuk dikongsi.

Blog Archive

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...