Dr Asri: 'Saya Lebih Suka Negara Sekular Yang Memisahkan Agama Daripada Politik'

Bekas mufti Perlis Prof Madya Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin berkata beliau lebih suka menerima konsep negara sekular berbanding negara yang menggunakan agama untuk kepentingan politik. Tegas profesor pelawat Universiti Oxford itu lagi, golongan agama "nampak buruk" apabila kumpulan tersebut menggunakan agama sebagai alat politik.

"Politik dan agama memang patut bergabung, kerana agama membimbing politik. (Tetapi apabila) agama dijadikan alat politik, saya lebih rela (terima) negara sekular.

"Saya lebih suka negara yang memisahkan agama daripada politik. Kalau agama itu digunakan untuk kepentingan politik, sekurang-kurangnya agama kita selamat, yang kena orang politik saja.

"Apabila orang buat salah, dan menghalalkan kesalahan tu atas nama Allah, lebih baik pisahkan sahaja," katanya.

Dr Asri menegaskan beliau lebih suka negara barat yang tidak menggunakan nama tuhan, daripada negara yang menggunakan nama tuhan sehingga tuhan itu kelihatan zalim.

"(Tuhan) kelihatan macam menghalalkan kesalahan. Sebab itu berhati-hati dalam fatwa-fatwa agama," katanya.

Beliau mengulas mengenai parti tertentu yang dilihat sering menggunakan agama sehingga menyebabkan sebahagian besar penyokongnya salah faham mengenai Islam yang sebenarnya.

Pada masa sama beliau turut menyentuh pandangan seorang guru pondok yang antara lainnya menyatakan bahawa DAP  "secara terang-terangan menentang penubuhan negara Islam serta pelaksanaan hukum hudud."

Berucap dalam sesi penggulungan di Konvensyen Fiqh Siasah di Shah Alam lewat petang semalam, Dr Asri berkata, beberapa ahli parlimen DAP Pulau Pinang menemui beliau berhubung isu berkenaan.
Beliau menjelaskan, sekalipun guru agama itu "memakai serban dan mempunyai pondok", tetapi guru tersebut belum berhak untuk "membuat keputusan yang besar" seperti itu.

"Ada akibat besar, bila kata orang kafir harbi ni... Dr Yusuf Qaradhawi cakap negara kafir harbi negara Israel sahaja, Amerika tidak termasuk kerana terlibat dengan perjanjian PBB dan sebagainya," katanya.

Tambahnya, kenyataan guru pondok berkenaan akan menyebabkan pengundi sukar membuat keputusan apabila ia "diruncingkan" lagi menjelang pilihan raya.

"Bagi orang Melayu, mengikut analisis pilihan raya, antara perkara yang akan mempengaruhi mereka adalah isu agama dan bangsa

"(Bila) orang besar agama kata, tak boleh dia kata salah, dah tak boleh buat keputusan dah," katanya sambil menggesa agamawan lebih memberi pandangan alternatif kepada rakyat.

Sementara itu katanya, pada 1980-an, Pas sendiri pernah berpendirian sedemikian dengan menggunakan perkataan kafir ke atas penyokong BN.

"Tetapi hari ini mereka sedar bahawa pemerintahan negara ini memerlukan sokongan pelbagai pihak. Pas sudah berubah. Dan, hari ini seolah-olah Umno mengambil pendirian macam Pas tahun 1980-an.

"Esok, keadaan akan berubah. Jadi kita boleh menggunakan agama sebagai panduan berpolitik, tetapi tidak harus menjadikan ia sebagai instrumen politik.

"Agama mengatasi politik. Jadi, kita jangan campur aduk politik dan agama, jangan gunakan agama untuk politik," katanya

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan komentar anda untuk dikongsi.

Blog Archive

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...