Tok Mun Tidak Serik Untuk Bertanding Lagi Pada PRU-13 Walau Terpaksa Berhutang

KUALA TERENGGANU – Maimun Yusuf, 93, atau terkenal dengan nama Tok Mun yang pernah menggemparkan rakyat Malaysia pada Pilihan Raya Umum Ke-12 (PRU12) yang lalu kini mencari pihak yang sudi menjadi penyokong dan pencadang untuk membolehkan beliau bertanding pada pilihan raya umum akan datang.

Tidak serik dengan kekalahan pada pilihan raya umum lalu, Tok Mun yang sebelum ini turut memberitahu sebuah akhbar untuk bertanding lagi pada PRU13 berkata, kesukaran mencari kedua-dua individu tersebut disebabkan penyokong ‘dacing’ terlalu ramai.

“Tiada orang mahu menjadi penyokong dan pencadang sebab ramai yang sokong dacing (Barisan Nasional) sekarang ini,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di rumah sewanya di Kampung Gemia, di sini, semalam.

Walaupun usia hampir melewati seabad, Tok Mun masih sihat dan berupaya meneruskan kerja menjaja kain dengan basikalnya bagi menambah pendapatan selain mendapat elaun daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Biarpun berhasrat bertanding namun Tok Mun tidak mempunyai wang simpanan bagi tujuan itu.

Bagaimanapun dengan pendapatan yang ada, Tok Mun memberitahu masih tidak menyimpan wang untuk pilihan raya, namun tidak menolak untuk berhutang dengan mana-mana pihak.

“Tok kalau masuk tanding mungkin akan hutang dengan sesiapa sahaja. Hutang dengan orang ini sikit, orang itu sikit,” katanya.

Dalam laporan sebuah akhbar tempatan baru-baru ini, Tok Mun dikatakan akan bertanding di kerusi Dun pada pilihan raya umum akan datang dan telah ke Pejabat Suruhanjaya Pilihan Raya untuk mendapatkan maklumat bagi persediaan menghadapi pilihan raya.

Ditanya sebab Tok Mun beria-ia bertanding sedangkan beliau sendiri adalah penerima bantuan JKM, beliau menjawab kerana amanah untuk mempertahankan tanah air dan Islam.

Pada pilihan raya umum 2008, Maimun bertanding di kerusi Parlimen Kuala Terengganu menentang calon Barisan Nasional (BN), Allahyarham Datuk Razali Ismail dan calon Pas, Mohamad Sabu.

Bagaimanapun, calon Bebas yang menggunakan simbol kunci itu tewas kepada calon BN apabila sekadar memperoleh 685 undi.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan komentar anda untuk dikongsi.

Blog Archive

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...