Calon Yang Layak Bertanding Diumumkan Awal Elak Sabotaj

SHAH ALAM – Veteran Umno Malaysia mencadangkan senarai calon yang dirasakan layak bertanding diumumkan awal bagi mengelakkan ada pihak disabotaj.

Setiausaha Agungnya, Datuk Mustapha Yaakub berkata, ia juga pendekatan bagi memujuk calon tidak bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) supaya memberi sokongan kepada rakan dalam parti mereka yang terpilih.

Menurutnya, pucuk pimpinan tertinggi akan mendapat kelebihan dari segi tempoh masa panjang masa untuk merancang strategi mereka ‘menyejukkan’ calon yang tidak bertanding.
“Fokus kita sekarang adalah untuk merampas kembali negeri-negeri yang terlepas ke tangan pembangkang pada PRU12  dan apa yang penting sekarang adalah kerjasama erat dalam kalangan ahli parti.

“Pada dasarnya untuk capai matlamat itu, amalan sabotaj sesama calon perlu dijauhi sama sekali dan pucuk pimpinan sendiri perlu memikirkan satu mekanisma ‘menang-menang’ bagi mengatasi kemungkinan yang akan berlaku.

“Sebagai contoh, sekiranya PRU13 diadakan pada Mac 2013 dan calon diumumkan bulan ini, pucuk pimpinan akan mempunyai tempoh lima bulan untuk mengawal keadaan dan apabila tibanya musim PRU nanti kita semua sudah bersedia beri tumpuan raih kemenangan,” katanya selepas Mesyuarat Ahli Jawatankuasa Veteran Umno Selangor di Bangunan Umno, semalam.

Mustapha berkata, pihaknya juga meminta wakil rakyat sedia ada berlaku jujur menyuarakan pengunduran sekiranya merasakan diri mereka sudah tidak lagi layak bertanding.

“Wakil rakyat itu sudah semestinya menyedari sama ada mereka ini masih diterima atau tidak.

“Jadi, mereka perlu telus menyuarakan status mereka dan sekiranya tidak lagi menjadi pilihan rakyat berilah  laluan kepada muka baru demi memudahkan kemenangan memihak kepada BN,” katanya.

Tambahnya, ahli  Veteran Umno terdiri daripada mereka berusia 60 tahun ke atas dan menganggotai Umno sejak dulu lagi.

Katanya, setakat Veteran Umno Malaysia mempunyai lebih 742,000 ahli berdaftar di seluruh negara .

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan komentar anda untuk dikongsi.

Blog Archive

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...