Pilihanraya DUN Berasingan Di Selangor Dan Di Kedah 'Ikut Angin Tengok Dulu'

Pilihan raya bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor akan dijalankan secara berasingan daripada pilihan raya umum - memecahkan tradisi lama dalam sejarah pilihan raya Malaysia.

Majlis Presiden Pakatan Rakyat membuat keputusan itu dalam mesyuaratnya hari ini, dengan memetik "masalah yang tidak dapat diselesaikan" pada senarai pemilih di negeri itu yang dikatakan termasuk ribuan pengundi yang diragui.

Majlis itu juga mungkin mempertimbangkan permohonan Pulau Pinang untuk mengadakan pilihan raya DUN berasingan, kata Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Katanya, mereka bersetuju dengan pandangan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim untuk tidak mengadakan pilihan raya negeri serentak dengan pilihan raya nasional kerana Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) gagal membersihkannya.

Menurut Anwar, terdapat ratusan ribu pengundi yang diragui yang berdaftar di Selangor, Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur) dan Pulau Pinang, dan pihaknya memandang berat perkara itu kerana SPR gagal memberi reaksi. Di Kelantan, kata Setiausaha Agung PAS , Datuk Mustafa Ali, menteri besar telah bersetuju untuk mengadakan pilihan raya negeri serentak dengan pilihan raya umum akan datang.
 
Sementara itu, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak berkata, keputusan bila Dewan Undangan Negeri (Dun) dibubarkan akan dibuat berdasarkan keadaan politik semasa di negeri itu.

"Tengok keadaan, ikut angin boleh menang. Kalau sekarang bubar boleh menang kenapa tidak... kalau penilaian politik boleh menang, kita bubar Dun," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Exco kerajaan negeri di sini hari ini.

Baru-baru ini, Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng berkata, kerajaan Pulau Pinang belum membuat keputusan sama ada mahu membubar Dun serentak dengan pembubaran Parlimen.

Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat pula berkata, pendirian Pas Kelantan sama sekali tidak akan membubarkan DUN secara berasingan untuk membolehkan pilihan raya umum diadakan.

Beliau berkata, pembubaran Dun akan diadakan serentak dengan kerajaan pusat sebaik sahaja Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak membubarkan Parlimen.

Azizan berkata kerajaan Kedah bagaimanapun akan melihat keputusan majlis pakatan rakyat terlebih dahulu dalam isu pembubaran Dun itu.

Pada masa sama, Azizan yang juga Pesuruhjaya Pas negeri berkata, pengagihan kerusi dalam kalangan Pas, PKR dan DAP telah 90 peratus selesai.

" Kami ada jawatankuasa teknikal untuk Pas, untuk PKR dan untuk DAP. Pas negeri telah lama menyerahkan senarai nama calon kepada Pas pusat untuk dipertimbang," katanya.

Beliau berkata, Pas negeri mahu memberi keutamaan kepada calon-calon tempatan tetapi bersedia menerima calon 'import' yang berkualiti jika itu yang diputuskan oleh Majlis Syura.

" Calon tempatan pun ramai yang layak. Bagaimanapun, calon yang menang dulu seboleh-bolehnya kami mahu kekalkan melainkan fizikal tak cergas, uzur atau menarik diri. Mereka (ini) ada pengalaman.

Selain calon luar, ada juga ura-ura wakil Dewan Himpunan Penyokong Pas hendak dicalonkan," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan komentar anda untuk dikongsi.

Blog Archive

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...