PRU 13 Paling Sengit Dalam Sejarah Negara - Raja Nong Chik

KOTA KINABALU - Anggota Majlis Tertinggi Umno Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin mengingatkan anggota Umno di negeri ini agar tidak memandang ringan tanggungjawab yang akan digalas pada pilihan raya umum ke-13.

Menyifatkan pilihan raya akan datang itu sebagai paling sengit dalam sejarah negara, beliau berkata tanggungjawab yang dipikul Umno Sabah lebih berat kerana negeri itu dianggap sebagai 'simpanan tetap' Barisan Nasional (BN).

"Lihat sahaja sifat dan perwatakan pembangkang yang ada pada hari ini. Wadah perjuangan mereka bukan berunsurkan dasar, perjuangan mereka hanya berlandaskan fitnah dan 'spin'.

"Apa sahaja produk kerajaan Barisan Nasional akan difitnah, ditohmah dan dicaci. Kebelakangan ini nampaknya mereka sudah bertambah ekstremis, sudah ada unsur mengaibkan pemimpin dengan memijak gambar dan menunjukkan punggung," katanya ketika berucap pada perasmian persidangan perwakilan Umno Penampang, di sini Isnin malam.

Oleh itu, Raja Nong Cik yang juga Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar mengajak penduduk Sabah agar menolak pembangkang yang gemar melemparkan pelbagai janji populis yang tidak mungkin dapat dikotakan, semata-mata untuk meraih sokongan rakyat. - Bernama

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan komentar anda untuk dikongsi.

Blog Archive

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...