Dap Kena Ingat PR Takkan Menang Tanpa Pas Justeru Hudud Tetap Dilaksana - Mahfuz

KUALA LUMPUR - Pas Johor yakin pelaksanaan hudud di negara ini bukan perkara mustahil walaupun dibantah pemimpin-pemimpin DAP.

Pesuruhjayanya, Datuk Dr. Mahfodz Mohamed berkata, hudud tidak bertentangan dengan Perlembagaan negara yang memartabatkan Islam sebagai agama Persekutuan.

Menurut beliau, Pas juga yakin matlamat melaksanakan hudud dapat dicapai sekiranya parti itu beroleh kemenangan besar pada Pilihan Raya Umum Ke-13.

"Sudah tentu saya menyokong sepenuhnya pendirian Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Aziz Nik Mat yang berulang kali menyatakan hudud akan dilaksanakan apabila Pas menang.

"Saya tidak hairan DAP menolak hudud tetapi mereka perlu ingat, kejayaan pembangkang memerlukan kemenangan ketiga-tiga parti komponennya," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Mahfodz mengulas kenyataan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng kelmarin yang senada dengan bapanya, Lim Kit Siang dan Pengerusi DAP, Karpal Singh bahawa hudud bukan dasar pakatan pembangkang.

Tambah beliau, Pas, DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) perlu memiliki persefahaman politik dan berbincang lebih lanjut untuk menentukan dasar perjuangan pakatan tersebut.

Dalam pada itu, bekas Ketua Dewan Pemuda Pas Pulau Pinang, Mohamed Hafiz Mohamed Nordin memberitahu, Guan Eng sepatutnya menghormati dasar perjuangan Pas berhubung pelaksanaan hudud.

"Saya ingin bertanya kepada Guan Eng apa sebabnya beliau menolak hudud. Adakah Guan Eng bimbang hak penganut agama lain akan terancam?" katanya.

Pada masa sama, beliau juga kesal dengan kegagalan pemimpin Pas mempertahankan pendirian Nik Aziz secara terbuka kerana keadaan itu menyebabkan ramai ahli peringkat akar umbi dan penyokong parti keliru.

"Majlis Syura Ulama dan Dewan Ulama Pas perlu membuat kenyataan rasmi berhubung tindakan Guan Eng menolak hudud," katanya.

Bagaimanapun, kata Mohamed Hafiz, pemimpin Pas lebih gemar mendiamkan diri apabila hudud yang menjadi dasar perjuangan parti dikritik DAP. - Utusan

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan komentar anda untuk dikongsi.

Blog Archive

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...