JAHAT - Warga Emas 'Pok Loh' Dan 'Pok Min' Sepakat Rogol Dan Cabul Dua Beradik Berusia 10 dan 12 Tahun

KOTA BHARU - Seorang warga emas berusia 77 tahun dihukum penjara enam bulan oleh Mahkamah Tinggi di sini, semalam selepas mengaku salah mencabul seorang kanak-kanak perempuan, dua tahun lalu.

Mat Amin Hussin atau lebih dikenali mangsa sebagai ‘Pok Min’ mengaku pada tuduhan pindaan mencabul kanak-kanak berusia 12 tahun itu di sebuah rumah tanpa nombor di Kampung Beris Gajah Mati, Tawang, Bachok.

Kejadian berlaku pada jam 2 petang, 27 Julai 2011. Tarikh semalam ditetapkan untuk perbicaraan, bagaimanapun, hukuman diputuskan selepas tertuduh menukar pengakuan.

Tahun lalu, Pok Min dibebaskan Mahkamah Sesyen daripada tuduhan merogol mangsa.   Perintah lepas dan bebas itu bagaimanapun dibatalkan selepas dirayu pihak pendakwaan pada peringkat Mahkamah Tinggi.

Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Azman Abdullah dalam keputusannya berkata, setelah diteliti secara maksimum, pihak pendakwaan berjaya mewujudkan satu kes prima facie di bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan kerana mencabul.

“Saya berpuas hati dengan alasan hakim Mahkamah Sesyen dan beliau mempunyai kelebihan menilai serta melihat saksi memberi keterangan di hadapannya. Namun, dengan alasan dan soal balas peguam itu, beliau sepatutnya meminda pertuduhan kepada mencabul,” katanya.

Pok Min sebelum ini pernah ditegur Hakim, Mahkamah Sesyen, Zainal L Salleh ketika prosiding dakwaan terhadapnya, dua tahun lalu.

Pada 2011, rakan Pok Min, Dollah Senik, 72, atau ‘Pok Loh’ dihukum penjara 16 tahun dan lapan sebatan selepas mengaku merogol kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun yang juga adik kepada mangsa cabul ini. Kejadian berlaku di tempat, masa dan tarikh sama.

Fakta kes dikemukakan sebelum ini mengatakan dua beradik yang mengenali dua tertuduh ini dengan panggilan Pok Loh dan Pok Min, menahan mereka ketika berjalan menuju rumah kawan.

Mereka kemudian ditarik masuk ke dalam rumah Pok Min itu. Seterusnya, Pok Loh menarik si adik masuk ke dalam bilik sebelum merogolnya. Manakala, kakak pula bersama Pok Min di luar bilik. Kedua-dua tertuduh sudah menduda selama berpuluh-puluh tahun dan Pok Min turut menderita sakit jantung dan uluran.

Kes Pok Min dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya negeri, Azimah Yaacob dan peguam bela, Rosmizan Sulaiman.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan komentar anda untuk dikongsi.

Blog Archive

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...