Ugutan Bunuh - Ketua Polis Pulau Pinang: "Beritahu Mana Mahu Jumpa, Saya Akan Pergi"

GEORGETOWN - Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Abdul Rahim Hanafi mencabar individu yang menghantar SMS berbaur ugutan kepadanya pada Isnin lalu, untuk bersemuka.

Abdul Rahim berkata, beliau tidak gentar dengan SMS yang diterima dan perkara itu tidak akan mematahkan semangatnya untuk terus memerangi jenayah di negeri ini sekali gus menjalankan tugas dengan lebih tegas.

"Saya nasihatkan kepada penghantar mesej (ugutan) itu, jangan ingat dia terlepas daripada tindakan pihak polis.

"Tak payahlah ugut-ugut hantar SMS, beritahu saja...telefon mana mahu jumpa, saya akan pergi.

"Kalau dah berani sangat, beritahu tempat, tunggu saya...saya akan pergi," katanya selepas majlis makan malam sempena Kejohanan Bola Jaring Piala Ketua Polis Negara 2013, di sini, malam ini.

Beliau menerima lebih tiga SMS ugutan pada Isnin dan sudah membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut di sini pukul 9 malam semalam.

Antara kandungan SMS berkenaan ialah `Hello kepala Penang mau kasi ingat U sudah ambil saya punya kawan lima orang, U jangan ingat U The Best".

Selain itu, pengirim SMS turut mengugut untuk `mengambil' Abdul Rahim atau rakannya, jika tidak berjaya `mengambil' Abdul Rahim.

Kesemua SMS diterima daripada nombor yang sama bermula 9 pagi ketika Abdul Rahim berada di pejabatnya.

Abdul Rahim berkata, sebagai pegawai polis, beliau sudah biasa dengan SMS berbaur ugutan dan tidak kisah dengan perkara itu kerana apa yang penting ialah menjalankan tugasnya dalam memastikan keamanan serta keselamatan masyarakat.

"Saya langsung tak takut, bimbang dan sebagainya. Kalau saya sebagai Ketua Polis Negeri takut, bagaimana masyarakat? Kalau tunjuk muka takut, masam, bagaimana saya nak kekalkan keamanan. Apa yang saya nak takut. Saya akan lebih tegas lagi dalam perkara ini," katanya.

Abdul Rahim berkata, beliau mengarahkan pegawai Jabatan Siasatan Jenayah negeri menyiasat perkara itu mengikut Seksyen 507 Kanun Keseksaan.

Beliau turut mengesahkan timbalannya, Datuk A Thaiveegan yang baru bertugas minggu lalu, juga menerima SMS berbaur ugutan dan siasatan berhubung perkara itu sedang dijalankan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan komentar anda untuk dikongsi.

Blog Archive

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...