SHAH ALAM - Umno akan kembali merampas Selangor dari penguasaan kerajaan Pakatan Rakyat (PR) pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) dan keyakinan itu bukan satu "retorik", kata Naib Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Zahid berkata, Umno akan merampas semula Selangor dengan sokongan daripada semua pihak - dari peringkat akar umbi sehingga atasan yang ada dalam Umno Selangor.
"Saya yakin, bukan setakat retorik, dengan bantuan seluruh pimpinan Umno Selangor, kita akan rampas semula negeri Selangor dari tangan Pakatan Rakyat," katanya ketika berucap pada Majlis Sambutan Ulang Tahun Umno ke 66 peringkat negeri Selangor di bangunan Umno Selangor di sini, malam tadi.
PR memerintah Selangor sejak menang PRU12 empat tahun lalu.
Sebelum ini, Presiden Umno Datuk Seri Najib Tun Razak bertekad mahu merampas Selangor dalam apa jua cara pun dan mahu BN bekerja keras ke arah itu.
Hadir sama, Timbalan Pengerusi Umno Selangor, Datuk Seri Noh Omar dan Setiausaha Badan Perhubungan Umno Selangor, Datuk Seri Ir Mohd Zin Mohamed.
Terdahulu, Noh omar menerima bendera Sang Saka Bangsa daripada Ketua Umno Bahagian Shah Alam, Datuk Ahmad Nawawi Md Zin.
Larian bendera Umno yang diadakan sempena sambutan ulang tahun ke-66 Umno, esok bermula sejak 1 Mei lalu membabitkan empat zon iaitu Zon Utara, Zon Pantai Timur, Zon Selatan dan Zon Sabah dan akan berakhir di Stadium Bukit Jalil.
Beliau turut menyeru supaya semua ahli Umno menyelesaikan masalah rakyat dan juga mengenepikan segala masalah di kalangan warga Umno Selangor.
"Demi Umno, demi negara kita, kita ketepikan semua masalah peribadi jika ada, demi Umno kita akan tuntut balik kemenenangan Umno dan Barisan Nasional di negeri Selangor ini," katanya.
Pada majlis sama, Zahid yang juga Menteri Pertahanan diiringi 66 buah motosikal berkuasa tinggi dari kelab Super Bikers menandakan simbolik ulang Umno yang ke-66 yang dihadiri hampir 300 ahli Umno negeri Selangor.
Amin...Amin...Amin...Ya Rabbul Alamin.
ReplyDelete