Video - Keadaan Terkini Selepas Kejadian Di Kampung Simunul, Semporna, Sabah

LAHAD DATU - Polis mengesahkan seorang lelaki bersenjata M16 yang maut dibelasah penduduk Kampung Senallang Lama, Semporna adalah seorang daripada anggota kumpulan penceroboh bersenjata yang menyelinap masuk ke negara ini.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hamza Taib berkata, siasatan polis mendapati penceroboh itu merupakan seorang lelaki berbangsa Sulu dan berumur 60-an.

Lelaki itu yang turut membawa pelancar roket menyelinap masuk melalui jalan pantai ke Kampung Senallang Lama kira-kira pukul 5 pagi, katanya pada sidang akhbar di Residental Falda Sahabat kira-kira 30 kilometer dari sini hari ini.

Beliau berkata, penceroboh itu telah mengarahkan kira-kira 80 penduduk kampung berkenaan untuk keluar berkumpul di satu kawasan lapang berhampiran sebuah surau dan menjadikan mereka tebusan.

"Ekoran itu, 20 pemuda kampung telah bertindak dengan menyerang dan menangkap lelaki itu sebelum memukulnya hingga mati.

"Pada saya, tindakan itu walaupun dari segi undang-undang nampak salah, tetapi kita perlu ingat mereka dianggap tawanan. Mereka mengambil tindakan balas untuk menyelamatkan diri," katanya.

Sementara itu, Hamza berkata polis dengan kerjasama Angkatan Tentera Malaysia sedang menyediakan perincian akhir sebelum mengambil tindakan drastik terhadap kumpulan penceroboh yang masih enggan menyerah diri.

Beliau berkata walaupun pihaknya sudah menjatuhkan risalah tapi mereka masih enggan menyerah diri.

"Setakat ini tiga anggota kumpulan penceroboh itu ditahan ketika cuba keluar dari kawasan kawalan di kampung Tanduo. Dua daripada mereka ditahan semalam dan seorang lagi ditahan pagi ini," katanya.

Beliau berkata, tiga lelaki itu adalah anggota kumpulan berkenaan yang pertama ditahan oleh pasukan keselamatan selepas mereka menceroboh kampung itu yang kini masuk hari ke-20.

Hamza turut mengulangi ingatannya kepada orang ramai khususnya penduduk negeri ini supaya tidak mudah percaya dengan khabar angin tanpa pengesahan daripada sumber rasmi.

Terdahulu berita Bernama melaporkan  seorang lelaki berbadan besar, berpakaian serba hitam, memegang senjata M-16 dan berumur dalam lingkungan 50-an turun daripada sebuah bukit dan melepaskan beberapa das tembakan ke arah sebuah surau di Kampung Senallang Lama, Semporna di sini.

Seorang penduduk, Abdul Hani Samaullah, 44, berkata selepas melepaskan tembakan lelaki itu turut menjerit di hening pagi bahawa "saya yang menembak polis malam tadi".

"Lelaki itu kemudian membuka setiap pintu rumah penduduk dan mengarahkan mereka berkumpul di satu kawasan lapang," katanya yang turut berkumpul bersama penduduk di dalam keadaan ketakutan.

Abdul Hani berkata penduduk menyerang lelaki terbabit apabila dia bertinggung dan memasang api rokok serta meletakkan senjatanya.

Beliau berkata lelaki itu dipukul hingga mati dan mayatnya diletakkan dekat dengan sebuah pokok di kampung itu.

Wartawan Bernama yang dalam perjalanan membuat liputan majlis perasmian jambatan baharu oleh Menteri Kemajuan Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal di Kampung Nihak Nihak, pada 8.30 pagi iaitu 30 kilometer daripada Kampung Senallang Lama, sempat melihat mayat lelaki itu dan mendapati kepala lelaki itu berlumuran darah.

Kelihatan penduduk mengemas beg pakaian mereka dan mengosongkan rumah mereka dengan membawa anggota keluarga, termasuk kanak-kanak dan wanita, untuk melarikan diri ke kawasan kampung lain.

Kebanyakan penduduk adalah petani dan pekebun ladang kelapa sawit. Cubaan Bernama untuk menghubungi Ketua Polis Daerah Semporna DSP Mohd Firdaus Francis Abdullah untuk mendapatkan maklumat lanjut gagal.

Kampung Sri Jaya Simunul terletak di pinggir bandar Semporna dan Kampung Senallang Lama pula kira-kira lima kilometer dari pekan itu.

Tinjauan Bernama di pekan Semporna hari ini mendapati pekan itu kini lengang apabila hampir semua premis perniagaan ditutup, termasuk tiga stesen minyak.

Pasar Awam Semporna yang biasanya begitu sibuk dengan peniaga dan pelanggan juga sepi apabila hanya kelihatan segelintir peniaga membuka gerai mereka, malah kaum nelayan juga tidak turun ke laut untuk menangkap ikan.

Sementara itu, beberapa penduduk Kampung Sri Jaya yang ditemui pula berkata hampir kesemua kira-kira 2,000 hingga 3,000 penduduk kampung itu telah meninggalkan rumah masing-masing.

1 comment:

  1. alhmdulillah. Orang Sabah mesti bersatu utk jaga keamanan negara. harap Polis atau ATM saja takkan berjaya. ni pembangkang punya kerja. pengkhianat!

    ReplyDelete

Tinggalkan komentar anda untuk dikongsi.

Blog Archive

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...