Tukar Kerajaan - Mungkinkah Demokrasi Ciptaan Yahudi Menjamin Kejayaan Kepada Islam?

RENTETAN demi rentetan peristiwa pahit yang menimpa negara-negara Islam seharusnya menjadi iktibar bagi golongan Haraki yang menentang pemerintah secara khasnya dan Ahli Sunnah secara umumnya.

Usaha menukar kerajaan oleh gerakan-gerakan Islam dengan menubuhkan parti dan menyertai demokrasi terbukti tidak akan membuahkan hasil yang baik.

Mungkinkah demokrasi ciptaan Yahudi menjamin kejayaan kepada Islam? Akal yang sihat akan spontan menjawab tidak!

Islam tidak akan tertegak melalui jalan demokrasi kerana ia berasaskan majoriti dan kehendak rakyat. Ulama Yaman, Syaikh Muqbil Al-Wadi’i rahimahullah berkata, “Demokrasi bermakna rakyat menghukum dirinya dengan diri sendiri.

Jika suara (majoriti) mengatakan homoseksual halal maka suara tersebut akan didahulukan daripada Al-Quran dan Al-Sunnah.”(Tuhfatul Mujib)

Apa yang berlaku di Algeria sekitar tahun 1990 turut membuktikan bahawa menukar pemerintah dengan undi juga menyebabkan mudarat yang luar biasa besar kepada Islam, negara dan rakyatnya.

Ulama Algeria, Syaikh Abdul Malik Ramadhani Al-Jazairi menceritakan secara rinci tentang pergolakan yang berlaku di negaranya dalam bukunya Madariku Al-Nadzar fi Al-Siyasah Baina Al-Tathbiqaat Al-Syar’iyyah wa Al-Infi’alat Al-Hamasiyah.

Kerajaan pada ketika itu seperti kerajaan lain pada hari ini; ada kekurangan atau ringkasnya tidak berhukum dengan Syarak. Maka gerakan-gerakan Islam di sana memilih untuk menyertai pilihanraya atas nama Barisan Penyelamat Islam.

Ditakdirkan ALLAH, Barisan Penyelamat Islam ini menang sebahagian besar kerusi dalam pilihanraya.

Namun seperti sunnatullah dan fitrahnya, kerajaan yang jatuh tidak akan tunduk dengan mudah. Ini yang dilakukan oleh pemerintah yang kalah pada masa itu.

Dia bertindak balas ke atas gerakan Islam ini di mana tokoh-tokoh gerakan Islam ini ditangkap dan dipenjara.

Hal ini menyebabkan berlaku huru hara dan keadaan tidak tenteram yang berlanjutan bertahun-tahun lamanya.

Apabila ketua gerakan Islam ditangkap, pengikut-pengikutnya melakukan demonstrasi demi demonstrasi, bantahan demi bantahan hingga akhirnya kerajaan mengisytiharkan darurat dengan masuk campur tentera (sekaligus membatalkan keputusan pilihan raya).

Lebih ramai pengikut gerakan Islam ini ditangkap dan dipenjarakan sehingga lebih 10,000 orang.

Saki baki yang tidak tertangkap melarikan diri ke pergunungan dan menyiapkan tentera mereka.

Mereka kemudiannya melaungkan ‘jihad’ hingga mengakibatkan lebih banyak nyawa terkorban.

Mereka turut menyerang tentera pemerintah atas alasan pihak yang menyokong pemerintah adalah kafir. Kaum keluarga yang tidak setuju dengan perjuangan mereka juga dihukum kafir dan dibunuh.

Syaikh Al-Jazairi menceritakan, “Sesungguhnya sebelum terjadinya fitnah ini, tauhid dan sunnah betul-betul tersebar di Algeria.

Jalan menuju syirik dan bid’ah menjadi lengang. Wanita kembali ke rumah dan mendapat kehormatannya di sana, di dalam hijabnya.

Minuman-minuman keras ditinggalkan di banyak perkampungan. Masjid-masjid penuh dengan penghuninya. Agama (Islam) memasuki setiap rumah.

Tetapi musuh sedar lalu membangkitkan orang yang paling keras dan paling jumud di tengah rakyat serta mengobarkan fitnah antara rakyat dan negaranya.

Akhirnya makin berkurang dakwah Nabawiyah, berganti dengan khutbah-khutbah yang panas membakar. Sehingga lahir dua fenomena: pembangkangan terhadap pemerintah dan takfir (kafir mengkafir).

Ketenteraman negara berubah menjadi ketakutan, kemakmuran menjadi kerosakan. Masjid yang dulunya aman menjadi pentas keganasan, dan mengalirlah darah-darah umat Islam bagaikan sungai yang meluap.”

Dapat kita lihat bagaimana gerakan Islam ini dikelirukan oleh tokoh-tokoh mereka yang mengatakan bahawa pengikut yang ramai menunjukkan mereka ada kekuatan, bererti mereka sudah boleh menjatuhkan pemerintah.

Mereka menyangka bilangan yang ramai berbekal semangat dan dibantu beberapa tokoh Islam sudah cukup untuk menumbangkan kerajaan dan menubuhkan kerajaan Islam yang melaksanakan hukum Syariat.

Kekuatan yang ada pada mereka hakikatnya tidak lebih dari semangat kepartian semata-mata, yang hasilnya adalah taksub. Ini terbukti apabila tokoh mereka ditangkap, pengikutnya jadi caca merba dan bertindak secara tidak rasional.

Ini yang terjadi apabila pengikut tidak ada ilmu agama, yang ada hanyalah semangat.

Islam apa yang telah mereka tegakkan? Semua berakhir dengan rakyat hidup dalam ketakutan, sekolah agama ditutup, pemakaian yang mempamerkan identiti Islam seperti jubah dan seumpamanya dilarang, dakwah dicurigai dan dihalang pihak berkuasa. Sehingga hari ini, usaha dakwah menjadi lesu dan terbantut sama sekali.

Kuasa tidak mampu memperbaiki keadaan rakyat

Mereka keliru kerana menyangka rakyat akan menjadi baik dengan naiknya pemimpin yang baik. Mereka menyangka Syariat dapat ditegakkan jika mereka memegang pemerintahan sedangkan mereka merebutnya dengan jalan demokrasi.

Tidakkah sampai kepada mereka kisah Bani Israel yang dipimpin oleh Nabi? “Sesungguhnya Bani Israil dipimpin oleh para Nabi, setiap seorang Nabi wafat diganti oleh Nabi berikutnya.” (Bukhari & Muslim).

Malah ALLAH berfirman kepada sebahagian Bani Israel, “Jadilah kamu kera yang hina” (Al-Baqarah: 65) ketika mereka di bawah pemerintahan Nabi. Malah Bani Israel dilaknat kerana membunuh Nabi-Nabi mereka.

Seluruh Rasul menegakkan Islam bukan dengan merebut pemerintahan tetapi fokus menyeru kepada Tauhid.

ALLAH Subhanahu wa Ta’ala yang mengangkat mereka menjadi pemimpin dan ALLAH yang menjatuhkan pemimpin yang dikehendakiNya.

Malah Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallamditawarkan pangkat dan harta oleh kaum Musyrikin tetapi Baginda menolak. Mengapa ditolak jika kuasa boleh menegakkan Syariat dan menyelamatkan kaum Muslimin dari penindasan?Tentu kerana Baginda tahu (melalui wahyu) bahawa Islam hanya boleh ditegakkan melalui asas yang kukuh; dari bawah, bukan dari atas.

Sebuah bangunan tidak akan berdiri tegak tanpa asas binaan yang kukuh.

Imam Al-Albani rahimahullah muhaddis abad ini berkata, “Barangsiapa menyelisihi petunjuk Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam nescaya akan rugi pada akhirnya.

Petunjuk Nabi tentang penegakan hukum dan negara Islam hanya boleh dicapai dengan dakwah; dakwah tauhid didasari Al-Quran dan Sunnah.

Kami isyaratkan prinsip penting ini dengan dua kalimat ringkas iaitu tasfiah (pemurnian) dan tarbiah (pendidikan).

Dengan ini kami katakan bahawa apa yang terjadi di Algeria atau di Mesir adalah menyelisihi Islam, kerana Islam memerintahkan untuk melakukan tasfiyah dan tarbiyah (bukan merebut pemerintahan).

Beliau menambah, “Islam yang akan membuahkan hasil pada generasi akhir adalah seperti Islam yang membuahkan hasil pada generasi awal. Bagi yang inginkan kebenaran hendaklah mendahulukan tarbiah pada diri mereka.

Kemudian dilanjutkan dengan tarbiah bagi yang di bawah kekuasaannya, dan seterusnya dan seterusnya hingga sampailah hal ini kepada pemerintah.

Tidak mungkin memperbaikinya kecuali dengan turutan yang syar’i dan rasional ini.”

“Maka tindakan pemberontakan dan rampasan kuasa yang dilakukan, hatta jihad di Afghanistan, kami tidak mendokong hal tersebut dan pesimis terhadap hasil akhirnya.

Dalil-dalil Al-Quran menunjukkan perpecahan adalah kelemahan. ALLAH menyebut di antara sebab pembunuhan adalah perselisihan dan perpecahan.

Apabila kaum Muslimin terpecah menjadi kelompok-kelompok, tidak mungkin mereka menang kerana perpecahan hanyalah tanda kelemahan bagi mereka.

Oleh itu wajib bagi orang yang ingin menegakkan negara Islam supaya mewujudkan kalimat yang saya anggap sebagai kata hikmah dari seorang da’i namun pengikutnya tidak mengikutinya, iaitu: “Tegakkanlah negara Islam pada dirimu nescaya akan tegaklah negara Islam di bumi kamu.” (Kaset bertajuk Min Manhaji Al-Khawarij, 29 Jumadil Akhir 1416H/ 23 Oktober 1995M)

Kewajipan taat pemerintah bukan untuk menzalimi manusia

Tidak ada manusia yang apabila sampai ke satu jawatan merasa suka pihak lain menggugat kedudukannya.

Contoh terdekat ialah Imam masjid. Adakah dia suka kalau ada orang mengambil tempatnya sebagai imam?

Islam menitikberatkan ukhuwah dan keharmonian, kerana itu Islam menutup pintu yang boleh menggugatnya sehingga Nabi SAW bersabda, “Jangan ada seorang lelaki hendak menjadi imam bagi seorang lelaki di tempat kekuasaannya.” (Riwayat Muslim)

Sepanjang sejarah Islam, semua Khalifah memerintah hingga akhir hayat. Ada yang mendakwa ini kezaliman.

Hati-hatilah, kerana ini adalah ijma’ bukan saja dari para Ulama bahkan umat Islam seluruhnya. Mereka bersetuju dengan penetapan ini tanpa ada yang mengatakan ini satu kezaliman.

Kita maklum bahawa sistem demokrasi tidak boleh diubah dalam sehari semalam. Namun umat Islam mesti cerdik dengan mengambil yang perlu dan meninggalkan yang tidak perlu.

Bersatu di bawah pemerintah Muslim adalah tuntutan yang wajib didahulukan. Bagi yang berpedoman dengan hukum demokrasi, kita tanyakan, “Apakah hukum jahiliyah yang mereka kehendaki?” (Al-Maidah: 50)

Kita yakin bahawa Syarak lebih tahu kebaikan di sebalik perintah ini kerana ia adalah wahyu dari ALLAH.

Hikmah yang jelas adalah apa jua usaha menukar pemerintah pasti mengakibatkan keburukan yang besar. Pertumpahan darah walaupun satu nyawa adalah seburuk-buruk akibat.

Nyawa seorang Muslim sangat berharga di sisi ALLAH sebagaimana hadis Nabi, “Musnahnya seluruh dunia lebih ringan di sisi ALLAH dari terbunuhnya seorang Muslim.” (Bukhari)

Memandang remeh nyawa seorang manusia sama dengan memandang remeh darah semua manusia. “Barangsiapa membunuh seorang manusia bukan kerana dia membunuh orang lain dan bukan kerana membuat kerosakan di muka bumi, seolah-olah dia telah membunuh semua manusia.” (Al-Maidah: 32)

Dalam menghadapi dua mudarat, kaedah Syarak menetapkan: “Memilih mudarat yang lebih ringan”.

Rasulullah menjelaskan bahawa pemerintah akan bertanggungjawab di hadapan ALLAH atas apa yang mereka lakukan manakala rakyat bertanggungjawab menunaikan hak pemerintah (dengar dan patuh) walaupun dia zalim.

Jika kamu sabar (bukan meredai), kamu mendapat pahala. Sebaliknya jika kamu tidak sabar, kamu berdosa dan menerima akibat buruk di Akhirat kelak.

Ini semua bukan untuk menzalimi rakyat, sebaliknya untuk memelihara maslahat rakyat sendiri dan mencegah mudarat yang lebih besar.

Syaikh Ibn Utsaimin rh. berkata: “Tidak boleh memberontak dan melawan pemimpin kecuali, Pertama: mereka kafir dengan kafir yang nyata berdasarkan sabda Nabi: “kecuali bila kalian melihat kekufuran yang nyata.” (Muttafaq alaih)

Kedua: memiliki ilmu tentang kekafiran mereka, ulama yang menilai hal ini. Ketiga: tercapai maslahat dan tertolak mafsadat, ulama juga yang menilainya. Keempat: Kaum muslimin memiliki kemampuan menyingkirkan pemimpin yang kafir itu.

Syaikh melanjutkan: “Umumnya kekuatan dan kemampuan berada di tangan pemerintah, maka aku nasihatkan kaum Muslimin untuk berpegang dengan ilmu dan berdakwah dengan hikmah serta tidak memasuki perkara yang berisiko akan berhadapan dengan (kezaliman) pemerintah.” (Fatawa Al-Ulama Al-Akabir Fima Uhdira Min Dima’ fi Al-Jazair)

- Ustaz Idris Sulaiman *Penulis adalah Pegawai Penyelidik di Kedutaan Arab Saudi, Ahli Syura Ilmuwan Malaysia (iLMU)

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan komentar anda untuk dikongsi.

Blog Archive

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...