KUALA LUMPUR – Perhimpunan aman bagi menyokong hak asasi golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) yang dijadualkan berlangsung di depan ibupejabat Majlis Peguam esok telah dibatalkan di saat-saat akhir.
Sumber terdekat mengesahkan pembatalan himpunan bertema ‘LGBT Bukan Penjenayah’ itu adalah disebabkan oleh kerisauan penganjurnya tentang bantahan terhadap golongan tersebut oleh masyarakat.
Menurutnya lagi, beberapa badan bukan kerajaan (NGO) seperti Jaringan Melayu Malaysia dan Pertubuhan Muafakat Sejahtera Rakyat Malaysia (Muafakat) turut membantah himpunan tersebut yang dikatakan menggalakkan kehidupan songsang di kalangan rakyat negara ini.
Seorang penyokong LGBT , Sally (bukan nama sebenar), 28, memberitahu bahawa ramai rakan-rakannya yang mulanya bersemangat mahu menyertai himpunan itu terpaksa membatalkan hasrat tersebut kerana risau ‘diapa-apakan’ oleh pihak tertentu.
“Kitorang risau la bang…mana la tahu nanti ada orang datang pukul ke..kacau ke..buat sesuatu yang tak elok ke kat kitorang. Ye la…diorang bukannya faham ‘insan istimewa’ macam kitorang ni,” katanya yang kesal dengan pembatalan himpunan tersebut.
Rakan karibnya, Ziana (juga bukan nama sebenar), 32, pula agak marah-marah dengan ancaman yang diterima dari pihak-pihak tertentu itu dan mahu terus memperjuangkan hak LGBT dengan apa cara sekalipun.
“I tak kira…apa pun I akan perjuangkan jugak hak kitorang. Kitorang pun rakyat jugak, bayar cukai jalan jugak…dan kitorang pun sayangkan Malaysia jugak. Salah ke kitorang nak perjuangkan hak? Berdosa ke?,” katanya dengan nada kesal.
Isu LGBT mencetus ketegangan di kalangan rakyat Malaysia apabila beberapa NGO termasuk Majlis Peguam, Tenaganita, Suhakam dan Suaram menganjurkan program Seksualiti Merdeka yang menperjuangkan hak golongan tersebut pada November tahun lalu.
Bertemakan “Queer Without Feer”, program tersebut yang diketuai oleh beberapa aktivis seperti Datuk Ambiga Sreevenasan, Phang Khee Phaik, Marina Mahathir dan Irene Fernandez telah diharamkan oleh pihak kerajaan untuk menjaga sensitiviti rakyat setelah mendapat bantahan meluas dari ramai pihak. - Mynewshub
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan komentar anda untuk dikongsi.