UPDATE : KRONOLOGI PERHIMPUNAN DUDUK BANTAH 3.0 - GAS PEMEDIH MATA TERPAKSA DILEPASKAN

KUALA LUMPUR: Berikut adalah kronologi suasana menjelang Perhimpunan 'Duduk Bantah' Bersih 3.0 yang diadakan di Dataran Merdeka pada Sabtu.

3.55 petang: FRU dan anggota polis masih mengawal keadaan dan mengenakan sekatan jalan di kawasan sekitar Jalan Pasar berhampiran Pasar Seni.

3.50 petang: Kawasan sekitar antara Jalan Pasar dan Jalan Tun Perak semakin lengang. Para penyokong bersurai.

Sebahagian mereka yang terkena gas kanister cuba menyelamatkan diri.
3.43 petang: Lagi tembakan gas pemedih mata di jalan berhampiran LRT Masjid Jamek.

3.42 petang: Penyokong Bersih mula berlari meninggalkan kawasan berhampiran Dataran Merdeka.

3.30 petang: Perarakan berhenti di Ibu Pejabat PAS.

Penyokong Bersih berlari menyelamatkan diri apabila FRU melepaskan gas kanister di Jalan Pasar dan Jalan Tun Perak.

3.15 petang: Stesen LRT Masjid Jamek LRT ditutup. Penumpang yang berada di stesen tersebut perlu menuju ke stesen Pasar Seni atau Dang Wangi.

3.10 petang: Perarakan berhenti di Sogo.

Anwar berucap di hadapan penyokong Bersih.
Sebahagian penyokong mula menjauhi kawasan Dataran Merdeka sehingga ke arah Menara Maybank berikutan tembakan gas pemedih mata.

Namun, ada sebahagian lagi pula tidak berganjak dan terus melaungkan slogan 'Bersih' di hadapan stesen LRT Masjid Jamek.
Ambiga menerima sorakan daripada penyokong Bersih yang berada di Pasar Seni. Foto DARRAN TAN/The Star



3.05 petang: Perarakan tiba di Jalan Tuanku Abdul Rahman. Mereka diminta supaya berhenti di hadapan Sogo kerana mendapat maklumat semburan gas dilepaskan di Dataran Merdeka.

Penyokong di sepanjang jalan berhampiran LRT Masjid Jamek mula panik apabila ada pihak menjerit 'teargas'.

Mereka bergerak sedikit ke jalan Leboh Ampang dan kemudiannya melaungkan Reformasi.

3.00 petang: Polis melepaskan tembakan gas pemedih mata dan meriam air ke arah penyokong selepas mereka merusuh halangan yang dipasang polis di hadapan Dataran Merdeka.
Penyokong Bersih berkumpul dekat bangunan DBKL di Jalan Tun Perak pada pukul 10 pagi Brian Moh. Foto BRIAN MOH/The Star

Para penyokong berpatah balik ke arah stesen LRT Masjid Jamek apabila gas pemedih mata dilepaskan oleh pihak berkuasa di kawasan sekitar Dataran Merdeka.

Sebahagian mereka bersorak bagi membantah tindakan tersebut.

2.58 petang: Penyokong Bersih diarahkan duduk di jalan raya sepanjang jalan berhampiran LRT Masjid Jamek.

2.30 petang: Para penyokong Bersih yang membanjiri Jalan Tun Perak terutama di hadapan stesen LRT Masjid Jamek diarahkan duduk bagi menunjukkan bahawa perhimpunan diadakan secara aman.

Namun, keadaan yang begitu sesak menyebabkan sebahagian besar penyokong sukar untuk duduk.

Keadaan semakin sesak, ada segelintir penyokong terpaksa berdiri.

2.29 petang: Anwar dan beberapa lagi pemimpin pembangkang bersama ribuan penyokong Bersih kini memenuhi sepanjang jalan berhampiran LRT Masjid Jamek.

Mereka tidak dapat memasuki kawasan Dataran Merdeka.

Salah seorang jurucakap Bersih berkata, kumpulan itu sedang berunding dengan pihak berkuasa untuk memasuki Dataran Merdeka.

2.25 petang: Penyokong perhimpunan cuba mengalihkan halangan kawat berduri untuk memasuki Dataran Merdeka. Keadaan amat tegang.
Kira-kira 50 penyokong Bersih mula berkumpul di hadapan Air Pancuran Little India di Jalan Brickfields pada pukul 10.30 pagi.

2.20 petang: Perarakan tiba di Dataran Maybank. Sesi bergambar melibatkan Unit Amal PAS dan penyokong Bersih berbaju kuning.

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang bergambar bersama penyokong. Beliau turut berucap di hadapan penyokong disusuli Kit Siang.

Kit Siang berkata, perhimpunan itu diadakan semata-mata mahu mendapatkan pilihan raya yang bersih.

Abdul Kadir turut berucap mewakili badan bukan kerajaan (NGO).

Beliau berkata,"Kita tuntut keadilan, tak boleh buat cara lama lagi dah."

2.08 petang: Perarakan Bersih memenuhi kedua-dua laluan jalan raya di hadapan Pasar Seni.

2.05 petang: Perarakan dari Masjid Negara kini menghampiri Pasar Seni. Mereka akan terus menuju ke Dataran Merdeka.

1.59 petang: Naib Presiden PKR, Nurul Izzah berucap di hadapan penyokong Bersih di Masjid Jamek.

1.50 petang: Penyokong di Masjid Negara mula bergerak ke Dataran Merdeka, menggunakan laluan jauh ke arah Pasar Seni.

Keadaan di hadapan stesen LRT Masjid Jamek dan sepanjang Jalan Tun Perak begitu sesak dengan ribuan penyokong.

Tiada perarakan setakat ini, masing-masing tertumpu pada sorakan beramai-ramai di hadapan stesen LRT Masjid Jamek.

Wakil daripada Solidariti Anak Muda memaklumkan kepada orang ramai bahawa Dataran Merdeka adalah milik rakyat.

1.45 petang: Penyokong Bersih yang berada di Pasar Seni berarak ke Dataran Merdeka. Perarakan itu diketuai Ambiga dan beberapa pemimpin Pakatan Rakyat yang lain.

1.25 petang: Semua penyokong Bersih dan Himpunan Hijau berhenti bersorak buat sementara waktu dan duduk di sepanjang Jalan Tun Perak bagi menghormati mereka yang beragama Islam menunaikan solat Zohor di Masjid Jamek.

Turut kelihatan sekumpulan penyokong yang mewakili Solidariti Anak Muda.

1.23 petang: Penyokong menunaikan solat Zohor. Jemaah memenuhi perkarangan Masjid Negara.

12.55 tengah hari: Anwar berucap di hadapan ribuan penyokong Bersih. Bersama beliau ialah Datin Seri Dr Wan Azizah, Mohamad Sabu, Kit Siang.

Mohamad Sabu mengetuai kumpulan itu menyanyikan lagu 'Merdekakan Dataran Merdeka'. Anwar turut menyanyi bersama.

Menurut Anwar, kumpulan yang berhimpun di Masjid Negara akan bergerak ke Dataran Merdeka selepas waktu Zohor.

12.50 tengah hari: Ribuan penyokong Bersih dan Himpunan Hijau terus berarak ke kedua-dua arah di sepanjang Jalan Tun Perak sambil melaungkan sorakan 'Reformasi'.

12.40 tengah hari: Penyokong Bersih kelihatan menikmati makan tengah hari di restoran India Muslim di stesen KTM.
Suasana di masjid negara pada pukul 9.00 pagi. FAIHAN GHANI/The Star

12.36 tengah hari: Datuk Seri Anwar Ibrahim menyertai kumpulan penyokong yang berhimpun di Masjid Negara.

12.35 tengah hari: Kumpulan yang bergerak dari Brickfields kini menuju ke Pasar Seni sebelum ke Dataran Merdeka.

12.20 tengah hari: Sebahagian besar penyokong Bersih dan Himpunan Hijau duduk di tengah dan bahu jalan di sepanjang Jalan Tun Razak dari stesen LRT Masjid Jamek hingga ke Dataran Merdeka.

12.15 tengah hari: Bekas pemimpin veteran Umno, Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir berada di Masjid Negara. Turut kelihatan Penasihat DAP, Lim Kit Siang.

Kumpulan penyokong Bersih yang bergerak dari Little India kini bergerak seiring dengan sekumpulan lagi penyokong yang berhimpun di hadapan bangunan YMCA menuju ke Dataran Merdeka.

Kumpulan ini kini diketuai unit Amal PAS menuju ke Dataran Merdeka.

12.05 tengah hari: Ribuan penyokong Bersih dan Himpunan Hijau berarak di sepanjang Jalan Tun Perak di keduad-dua arah, menghala ke Dataran Merdeka.

Masing-masing melaungkan sorakan 'Bersih' dan 'Stop Lynas'.

12.04 tengah hari: Perarakan penyokong Bersih ke Dataran Merdeka melalui Jalan Tun Sambanthan mengakibatkan lalu lintas sesak. Namun pihak polis mengawal keadaan dengan baik.

Kumpulan itu bergerak sambil bersorak 'Hidup!Hidup!Bersih!Bersih.

12 tengah hari: Kira-kira 200 penyokong Bersih di Brickfields mula bergerak ke Dataran Merdeka.

Kawasan Masjid Negara semakin dipenuhi ramai penyokong Bersih. Bahagian hadapan sesak menyebabkan penyokong berdiri di sepanjang jalan raya dan bulatan dekat KTM di sini.

Semuanya gara-gara desas desus yang mengatakan Anwar akan berada di sini.

Kelihatan polis semakin ramai mengawal keadaan.

11.50 pagi: Sejumlah besar penyokong Bersih kembali duduk di tengah-tengah persimpangan Jalan Hang Lekiu dan Jalan Tun Perak dengan bersorak 'Reformasi', 'Duduk', 'Bantah', 'Hidup Rakyat' dan 'Hancur BN'.

11.45 pagi: Polis mengesahkan satu alat yang ditemui berhampiran Dayabumi pagi tadi bukanlah sejenis bahan letupan.

11.40 pagi: Ratusan penyokong Bersih dari arah Dataran Merdeka berarak di Jalan Tun Perak menghala ke arah Menara Maybank sambil melaungkan 'Reformasi' dan 'Hidup Rakyat'.

Kesemuanya kemudia duduk dan meneruskan sorakan di tengah-tengah persimpangan Jalan Hang Lekiu dan Jalan Tun Perak.

Selepas itu, masing-masing berdiri menyanyikan lagu 'Negaraku'.

11.36 pagi: Kumpulan yang berkumpul di Little India diedarkan notis kecil 'Jika anda ditahan, sila SMS:(1) Nama Penuh (2)No Kad Pengenalan (3) Balai Polis kepada 0133845740.

11.34 pagi: Penyokong Bersih di Little India bersorak 'Hidup Rakyat, Selamatkan Malaysia'. Kumpulan berkenaan diketuai Exco Kerajaan Negeri Selangor, Dr. Xavier A. Jeyakumar.

11.30 pagi: Para penyokong Bersih duduk di atas Jalan Tun Perak, beramai-ramai sambil bersorak 'Reformasi' dan 'Allahuakbar' serta 'Hidup Bersih', Hidup Rakyat, Duduk Bantah'.

11.20 pagi: Kelihat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Pinang yang juga Speaker Selangor, Datuk Teng Chan Kim mengetuai satu kumpulan penyokong Bersih yang melaungkan sorakan 'Bersih' di hadapan stesen LRT Masjid Jamek.

11.19 pagi: Di Air Pancuran Little India, Brickfields, kira-kira 100 penyokong Bersih mula berkumpul. Mereka dijangka bergerak ke Dataran Merdeka pada pukul 12 tengah hari. Kumpulan itu memakai kemeja-T Bersih.

11.00 pagi: Pemangku Presiden Makkal Sakti, V. Vathemurty yang mengetuai kumpulan penyokong Bersih di Air Pancuran Little India, Brifields berkata, mereka akan mula berarak ke Dataran Merdeka melalui Jalan Travers atau Jalan Tun Sambathan.

Katanya, mereka akan berarak dalam suasana aman.

10.55 pagi: Kumpulan yang berkumpul di kawasan Brickfields mula bersorak 'Hidup!Hidup! Bersih! Bersih!.

10.50 pagi: Kira-kira 20 penyokong Bersih mula berkumpul di kawasan Air Pancuran Little India. Mereka mula memasang kain rentang 'Duduk Bantah Dataran Merdeka'.

Anggota polis yang mengawal di kawasan sekitar tidak mengambil apa-apa tindakan.

10.35 pagi: Mat Sabu tiba di Masjid Negara. Semua penyokong duduk seperti slogan 'Duduk dan Bantah'.

Mereka turut menyanyikan lagu tanggal 31 Merdeka tetapi menukar kepada tangga 28 April.

10.32 pagi: Pengerusi Bersih, Datuk S.Ambiga melalui Jalan Sultan Hishammuddin menuju ke KTM. Ambiga bertopi dan berkaca mata hitam.

10.30 pagi: Unit Amal PAS yang berkumpul di Masjid Negara mula memberikan taklimat kepada penyokong.

Mereka memakai pakaian seragam berwarna merah. Taklimat menarik perhatian penyokong.

10.25 pagi: Buat pertama kalinya, penyokong Bersih di Masjid Negara melaungkan Allahuakbar di Masjid Negara. Laungan berikutan sekumpulan penyokong beratur memakai kemeja-T Bersih.

10.20 pagi: Lebih 30 anggota polis berjalan menghala ke arah Dataran Merdeka dan kehadiran mereka mendapat tepukan gemuruh daripada para penyokong Bersih.

Jumlah penyokong Bersih 3.0 di kawasan sekitar stesen LRT Masjid Jamek dan sepanjang Tun Perak kini lebih 1,000 orang.

10.15 pagi: Suasana di KTM lengang. Mereka yang menaiki komuter terus bergerak ke Masjid Negara.

10.10 pagi: Penyokong Bersih membawa sepanduk 'EC Resign Now' (Suruhanjaya Pilihan Raya Bersara Sekarang) yang turut tertera kenyataan 'From the concerned people-the rakyat' (daripada Rakyat yang prihatin), dari stesen LRT Masjid Jamek menghala ke Dataran Merdeka.

Ada segelintir penyokong melaungkan 'Reformasi' ketika berarak membawa sepanduk.

9.45 pagi: Beratus-ratus penyokong Bersih memenuhi kawasan sekitar stesen LRT Masjid Jamek.

Turut kelihatan sejumlah kecil penyokong Himpunan Hijau di sini. Sebahagian mereka berkumpul di bahu jalan.

Tiga restoran termasuk dua restoran makanan segera dan dua kedai serbaneka 24 jam beroperasi di Jalan Tun Perak berhampiran stesen LRT Masjid Jamek walaupun sepanjang jalan kedua-dua arah dipenuhi ratusan penyokong Bersih.

9.41 pagi: Suasana sekitar Jalan Brickfields berhampiran kolam air pancuran masih lengang. Kelihatan beberapa kenderaan polis bersama sekumpulan anggota mula mengawasi kawasan sekitar.

9.30 pagi: Penyokong Bersih semakin ramai berkumpul di Masjid Negara. Petugas media turut membanjiri kawasan itu.

Helikopter berlegar-legar memantau keadaan.

9.15 pagi: Kelihatan sekumpulan penyokong Bersih membeli token LRT di stesen KL Sentral untuk ke beberapa stesen seperti Masjid Jamek, Pasar Seni di mana kolasi penyokong Bersih berkumpul.

9.10 pagi: Tiga trak polis tiba di Jalan Tun Perak berhampiran stesen LRT Masjid Jamek.

Lebih 30 anggota polis membuat persiapan mengawal keadaan di sini.

Kira-kira 25 anggota polis yang lain berada di persimpangan Jalan Tun Perak dan Leboh Ampang, mengenakan sekatan bagi laluan menghalang ke Dataran Merdeka.

9.06 pagi: Sekumpulan kecil penyokong tiba di Pasar Seni dengan membawa bersama dram dan tamborin.

9.05 pagi: Penyokong Himpunan Hijau mula berkumpul di laluan masuk ke KLCC, Jalan Ampang.

9.00 pagi: Lebih 200 penyokong Bersih mula membanjiri luar perkarangan Stesen LRT Masjid Jamek dan kawasan sekitar.

Sebahagian mereka mamakai baju kemeja-T berwarna kuning dengan lambang Bersih 3.0.

Ada di antara mereka turut memakai bandana, topi dan tudung serta gelang tangan berwarna kuning.

Lebih 10 polis bantuan mengawal keadaan dan keselamatan di Stesen LRT Masjid Jamek.

Bagaimanapun, keadaan di sini masih aman.

Beberapa anggota polis dan polis trafik turut mengawal keadaan trafik di hadapan stesen LRT.

Jalan menghala ke Dataran Merdeka ditutup.

9.00 pagi: Suasana di Masjid Negara tenang sejak pukul 8 pagi tadi. Kebanyakan penyokong dan orang awam menghabiskan masa dengan membaca surat khabar dan tak kurang juga yang tidur di hadapan masjid.

8.45 pagi: Masih tidak kelihatan penyokong Bersih di sekitar bangunan KL Sentral. Orang awam kelihatan sibuk dengan aktiviti masing-masing.

8.15 pagi: Suasana di KL Sentral mula sibuk dengan kehadiran orang awam. Tiada penyokong Bersih kelihatan di sekitar bangunan KL Sentral. -Mstar.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan komentar anda untuk dikongsi.

Blog Archive

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...