Pejuang-Pejuang Bersatulah - Jika Aku Betul, Kau Betul, Siapa Pula Yang Bersalah?...

Sudah menjadi lumrah bilamana rumah siap, maka pahat akan berbunyi...Semua orang mengaku benar, jika aku benar, kau pun benar, siapa pula yang bersalah ? Bukanlah hendak mencari salah, tapi sekadar menyelidiki helah...

Perpaduan, penyatuan untuk mengekalkan kehidupan harmoni seharusnya perlu masing-masing mengambil tanggungjawab dengan mengamalkan amanah serta jujur. Sikap telus dan berterus terang perlu ada bagi mengekalkan sebuah persahabatan mahupun kesatuan yang baik.

Sikap tamak haloba perlu dijauhi kerana ia hanya akan menghancurkan sesebuah kesatuan yang terbina, jika masing-masing menjaga akan perkara ini, masalah tidak akan timbul, tidak ada insan yang sempurna, namun minimumkan ketidaksempurnaan itu bagi perkara-perkara yang menyusahkan ataupun memudaratkan orang lain, cukuplah berdosa itu hanya kepada diri sendiri.

Agak kurang wajar lagi kesumbangan itu disengajakan hanya kerana tamak dan pentingkan diri sendiri, asas akan perkara itu jelas, jangan ambil jika ianya bukan hak kita, agihkan ia dengan adil, kerana semua itu hanya hal dunia yang tidak akan menerangi sampai kedalam lubang kubur.

Dalam perjuangan suci yang melibatkan perjuangan kepada agama, bangsa dan negara, sikap tamak, mudah syak wasangka, hasad dan fitnah wajib dijauhi serta usahlah mencari kredit kepada diri sendiri  dengan mengamalkan perbuatan buruk seperti itu sehingga ia boleh membinasakan orang lain.

Tidak ada perkara yang susah untuk mencapai kebaikkan dengan amalan jujur serta amanah, selain bersemuka dalam tenang dengan semua jemaah terlibat, berterus teranglah, kemudian nyatakan masalahnya, seterusnya sama-sama selesaikan dengan menjelaskan perkara yang menjadi isu kepada masalah tersebut tanpa perlu berbelit-belit, dan akhirnya terima keputusan solid sesudah pertikaian dibuat dengan masing-masing mengakui kesilapan yang wujud.

Tiada gunanya berjuang jika bersengketa memendam rasa, perkara itu hanya akan memeningkan mereka-mereka yang selama ini tidak memandang kepada laba, apabila dikejutkan dengan kapten sengketa, maka bingunglah mereka mendengar pelbagai kata dan nista, sukar pula untuk menilai yang mana intan mahupun kaca kerana kesemuanya indah bertutur bak burung tekukur.

Justeru sama-samalah mencari titik penyelesaian tanpa mencuba tegakkan benang yang basah (jika basah), kerana semua itu sudah tidak berguna lagi melainkan menjadikannya sebagai iktibar dan tauladan didepan hari, duduklah, bincanglah dan leraikanlah, sucikanlah hati sesucinya, mulakan langkah baru dengan semangat yang suci murni, letakkan kepentingan awam mengatasi kepentingan peribadi, utamakan matlamat rakyat dan hasrat ahli, InsyaAllah selamat, berkat dan diredhai. Anda Mampu Mengubahnya.

Sekadar ilusi tiada kaitan dengan mereka yang hidup mahupun yang telah pergi, kahkahkah

1 comment:

  1. Harus terima hakikat atas segala yg berlaku adalah dgn Takdir dan Kehendak dr Allah swt atas Perancangan dan Hikmah drNya. Akhlak kita ditonjolkan dgn bgmn kita menerima dan beriaksi terhdp apa yg berlaku, atau yg diTakdirkan itu, jika beriman bertindaklah kita spt sepatutnya org beriman, jika tidak beriman, mk bertindaklah dia spt tindakkannya org yg tidak beriman.

    ReplyDelete

Tinggalkan komentar anda untuk dikongsi.

Blog Archive

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...