KOTA BHARU – Pas Kelantan tidak gentar dengan kesediaan Datuk Seri Mustapa Mohamed untuk menjadi bakal Menteri Besar kerana berkeyakinan rakyat negeri itu bijak menilai dan tetap memilih Pas sebagai pemimpin.

Pengarah Jentera Pilihan Raya Pas Kelantan, Wan Nik Wan Yusoff berkata, jika keperibadian Ketua Perhubungan Umno Kelantan itu menjadi faktor beliau dijadikan calon paling layak, lebih ramai lagi pemimpin Pas yang jauh lebih baik daripadanya.

“Kita tengok dulu rakyat Kelantan pilih beliau (Tok Pa) atau tidak dalam Pilihan Raya Umum (PRU)13 nanti. Jika Tok Pa dikatakan baik, bagi Pas lebih ramai lagi pemimpin-pemimpin parti ini yang jauh lebih baik daripada beliau.

“Dulu pada PRU 2004, Tok Pa sudah dicalonkan sebagai bakal Menteri Besar tetapi rakyat Kelantan tetap tidak memilih beliau. Fakta sejarah membuktikan ketika itu beliau hampir menang tetapi rakyat negeri ini tidak memberi mandat kepadanya,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Beliau berkata demikian ketika mengulas laporan portal berita mengenai kesediaan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu untuk berhadapan dengan kepimpinan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat bagi mengetuai Kelantan jika Barisan Nasional berjaya mengambil alih negeri itu pada PRU 13.

Menurutnya, kenyataan Ahli Parlimen Jeli itu menunjukkan keyakinan beliau dalam pilihan raya akan datang tetapi keputusan itu terpulang kepada pucuk pimpinan Umno sendiri untuk memilih siapa yang layak.

Ini kerana, katanya, pada 2004 beliau bertanding dua kerusi dan hanya memenangi Dewan Undangan Negeri Ayer Lanas manakala empat tahun kemudian Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Awang Adek Hussin pula digambarkan sebagai bakal Menteri Besar tetapi tumpas di kedua-dua kerusi.

Wan Nik berkata, beliau berpendapat kemungkinan Mustapa akan bertanding dua kerusi juga dalam PRU 13 nanti tetapi beliau perlu berwaspada kerana pengundi Kelantan mempunyai taktik dengan calon bertanding dua kerusi.

“Cara pengundi Kelantan jika seseorang calon itu bertanding dua kerusi, mereka akan bagi laluan kepada satu kerusi sahaja. Ia pernah berlaku kepada Tok Pa dulu. Namun Awang Adek tumpas di kedua-dua kerusi yang dipertandingkan apabila rakyat Kelantan menolaknya pada 2008,” katanya.

Mustapa dilaporkan berkata, di bawah situasi normal, sesiapa sahaja ketua Umno negeri akan mengetuai (kerajaan) negeri jika menang (pilihan raya). Pertama, dia (ketua Umno negeri) akan mengetuai parti dalam pilihan raya.

”Ia laluan normal yang diambil, tetapi kita tidak boleh membuat andaian terlalu awal. Perdana Menteri dan Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak akan menentukan perkara ini, saya akan ikut arahan sebagai ‘seorang pengikut setia anda’,” katanya.