ISU LADANG RAKYAT - AHMAD SIFATKAN LAPORAN AKHBAR TIDAK BERASAS

Kerajaan Pas Kelantan menafikan dakwaan menganiaya penduduk negeri ini terutama golongan miskin berikutan tindakan memajak Tanah Rizab Melayu kepada syarikat bumiputera untuk pembangunan.

Timbalan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakub berkata, kerajaan negeri sentiasa membela rakyat miskin melalui program kebajikan seperti Ladang Rakyat yang sehingga hari ini berjaya memberi manfaat kepada sebanyak 4,800 peserta termasuk 162 peneroka asal di selatan Kelantan.

Beliau berkata, selain pembahagian dividen bulanan, pihak Perbadanan Pembangunan Ladang Rakyat (PPLR) juga sedang mengenal pasti tanah untuk dijadikan tapak rumah kepada peserta yang memerlukan.

"Usaha yang dilakukan adalah secara berperingkat dan kita mungkin tidak dapat melibatkan semua tetapi objektif kita adalah untuk membebaskan rakyat daripada kemiskinan tegar.

''Tidak dinafikan ada lagi yang boleh kita bela tetapi mungkin menerusi program kebajikan lain," katanya kepada pemberita selepas mesyuarat Exco di sini hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab pendedahan Utusan Malaysia menerusi Laporan Khas yang disiarkan semalam dan hari ini yang melaporkan hampir 60,000 hektar tanah Ladang Rakyat dipajak kepada syarikat swasta.

Sambil menafikan laporan itu, Ahmad berkata, tidak ada projek Ladang Rakyat dilaksanakan di kawasan Lepar Jaya dan Kuala Ketil, Gua Musang sebagaimana dilaporkan dan penderitaan yang kononnya ditanggung penduduk setempat juga tidak ada kena-mengena dengan projek Ladang Rakyat.

"Dakwaan itu adalah tidak berasas kerana tanah Ladang Rakyat hanyalah seluas 25,666 hektar sahaja malah laporan yang mengatakan tanah di situ dipajak juga tidak benar kerana konsep pembangunan Ladang Rakyat tidak melibatkan pajakan tanah.

"Hak milik tanah Ladang Rakyat juga kekal sama ada tanah kerajaan atau didaftar atas nama PPLR tanpa dipajak kepada syarikat swasta," katanya.

Ahmad berkata, dakwaan hanya lima peratus atau 240 orang sahaja daripada 4,834 peserta yang bebas miskin tegar sejak program itu dimulakan enam tahun lalu juga adalah tidak benar.

Sebaliknya kata beliau, projek itu setiap tahun berjaya membebaskan lima peratus pesertanya daripada miskin tegar dengan jumlah 1,440 peserta sepanjang enam tahun.- Utaranews

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan komentar anda untuk dikongsi.

Blog Archive

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...