SHAH ALAM – Veteran Umno Malaysia mencadangkan senarai calon yang
dirasakan layak bertanding diumumkan awal bagi mengelakkan ada pihak
disabotaj.
Setiausaha Agungnya, Datuk Mustapha Yaakub berkata, ia juga pendekatan
bagi memujuk calon tidak bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13)
supaya memberi sokongan kepada rakan dalam parti mereka yang terpilih.
Menurutnya, pucuk pimpinan tertinggi akan mendapat kelebihan dari segi
tempoh masa panjang masa untuk merancang strategi mereka ‘menyejukkan’
calon yang tidak bertanding.
“Fokus kita sekarang adalah untuk merampas kembali negeri-negeri yang
terlepas ke tangan pembangkang pada PRU12 dan apa yang penting sekarang
adalah kerjasama erat dalam kalangan ahli parti.
“Pada dasarnya untuk capai matlamat itu, amalan sabotaj sesama calon
perlu dijauhi sama sekali dan pucuk pimpinan sendiri perlu memikirkan
satu mekanisma ‘menang-menang’ bagi mengatasi kemungkinan yang akan
berlaku.
“Sebagai contoh, sekiranya PRU13 diadakan pada Mac 2013 dan calon
diumumkan bulan ini, pucuk pimpinan akan mempunyai tempoh lima bulan
untuk mengawal keadaan dan apabila tibanya musim PRU nanti kita semua
sudah bersedia beri tumpuan raih kemenangan,” katanya selepas Mesyuarat
Ahli Jawatankuasa Veteran Umno Selangor di Bangunan Umno, semalam.
Mustapha berkata, pihaknya juga meminta wakil rakyat sedia ada berlaku
jujur menyuarakan pengunduran sekiranya merasakan diri mereka sudah
tidak lagi layak bertanding.
“Wakil rakyat itu sudah semestinya menyedari sama ada mereka ini masih diterima atau tidak.
“Jadi, mereka perlu telus menyuarakan status mereka dan sekiranya tidak
lagi menjadi pilihan rakyat berilah laluan kepada muka baru demi
memudahkan kemenangan memihak kepada BN,” katanya.
Tambahnya, ahli Veteran Umno terdiri daripada mereka berusia 60 tahun ke atas dan menganggotai Umno sejak dulu lagi.
Katanya, setakat Veteran Umno Malaysia mempunyai lebih 742,000 ahli berdaftar di seluruh negara .
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan komentar anda untuk dikongsi.