IBRAHIM ALI TAK CAKAP BANYAK SELESAI MASALAH

TENDONG, PASIR MAS – Berbekalkan kain perca, seorang wanita di Kampung Tendong, menutup bangsal untuk dijadikan rumah, sejak dua tahun lalu.

Rohana Mohd, 48, terpaksa menggunakan kain perca untuk dijadikan dinding dan ruang bilik, agar anak-anaknya tidak kesejukan pada waktu malam.

Mereka juga terpaksa membersihkan diri dalam tandas masjid, malah bekalan air bersih diperoleh dari kawasan terdekat.
Menurutnya, dia bertuah kerana pemilik tanah, Wan Nazifah Wan Musa, 52, bersimpati dan menyalurkan kemudahan elektrik untuk kegunaannya.

“Saya sering berpindah dan memerlukan pekerjaan untuk menyara tiga anak yang masih kecil.

“Saya pernah bekerja sebagai pencuci pinggan di Kuantan, namun terpaksa berhenti kerana tiada siapa yang menjaga anak-anak,” katanya, semalam.

Rohana yang ditinggalkan suami sejak 2010, terpaksa menumpang teduh di bangsal bersebelahan Masjid Tendong, kerana kemiskinan hidup.

Menurutnya, suaminya yang juga warga Thailand, meninggalkan mereka tanpa khabar berita, dan tidak meninggalkan sebarang nafkah untuk membesarkan tiga anak yang masih kecil.

“Disebabkan suami warga Thailand, anak-anak tidak dapat ke sekolah seperti kanak-kanak lain, berikutan tidak mempunyai surat beranak.

“Saya hanya mengharapkan anak-anak dapat ke sekolah kerana dengan adanya pendidikan dapat mengubah masa depan mereka,” katanya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Pasir Mas, Datuk Ibrahim Ali turut meluahkan rasa simpati dengan kesulitan yang dihadapi Rohana.

“Saya sudah buat permohonan daripada pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi pihak Rohana dan akan uruskan permohonan surat beranak tiga anaknya secepat mungkin,” katanya. -Sinar Harian

2 comments:

Tinggalkan komentar anda untuk dikongsi.

Blog Archive

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...