'Deklarasi Kuching' Adakah PR Hanya Menabur Janji Palsu Seperti Sebelum Ini ?

SHAH ALAM - Barisan Nasional (BN) Sabah mencabar Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya menjelaskan dengan terperinci pelaksanaan Deklarasi Kuching tujuh perkara yang dilancarkan Pakatan Rakyat (PR) sempena sambutan Hari Malaysia, Ahad lalu.

Setiausahanya, Datuk Abdul Rahman Dahlan berkata, Anwar bersama Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang; dan Penasihat DAP, Lim Kit Siang perlu menerangkan kepada masyarakat maksud sebenar tujuh perkara yang terkandung dalam deklarasi itu.

“Saya cabar mereka bercakap. Apakah maknanya? Sabah dan Sarawak sama rata dengan Semenanjung? Saya rasa dia (Anwar) hanya bermain kata-kata.

“Apakah Sabah dan Sarawak akan disamaratakan dengan keseluruhan Semenanjung? Maknanya, Malaysia tiga, bukan 14? Tetapi Perjanjian Malaysia kata satu daripada 13,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian Online.

Semalam, PR melancarkan Perisytiharan Kuching tujuh perkara bersempena dengan tarikh bersejarah 16 September di Kuching, Sarawak.

Antara lain, tujuh perkara itu menyebut soal royalti minyak bagi Sabah dan Sarawak yang akan dinaikkan daripada lima peratus kepada 20 peratus serta mengembalikan kuasa autonomi kepada kedua-dua negeri tersebut.

Deklarasi itu ditandatangani oleh Anwar, Abdul Hadi, Kit Siang, Pengerusi PKR Sarawak, Baru Bian; Pengerusi DAP Sarawak, Wong Ho Leng dan Pesuruhjaya Negeri Pas Sarawak, Adam Ahid.

Abdul Rahman yang juga Ahli Parlimen Kota Belud menyifatkan ketujuh-tujuh perkara tersebut baik, namun melihat masalah dari segi implementasi memandangkan perikatan tersebut sudah menabur pelbagai janji di Semenanjung.

“Kita (BN) setuju dengan perkara yang disenaraikan tetapi bagaimana dia mahu dengan janji lain yang sudah ditabur sebelum ini.

“Soal bayaran royalti minyak, dari lima peratus keapda 20 peratus, itu eloklah tetapi perlu ingat dia sudah berjanji banyak benda,” katanya yang juga Naib Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan Barisan Nasional.

Menurut Abdul Rahman, janji yang ditabur sebelum ini seperti memansuhkan pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggai Nasional (PTPTN), mengurangkan harga kereta, mengurangkan tol dan meletakkan indikator pendapatan isi rumah minimim RM4,000, semuanya memerlukan dana yang tinggi.

“Mereka mahu naikkan subsidi dan tidak mahu cukai baru, mana nak cari duit? Semua orang nak lima peratus kepada 20 peratus itu tetapi macam mana mahu dilaksanakan?

“Apakah apabila mereka perlukan duit untuk menampung royalti itu, peruntukan bajet tahunan Sabah dan Sarawak untuk pembangunan akan dipotong?" soalnya.

Tambahnya, deklarasi itu hanyalah sekadar retorik yang tidak berpijak di bumi yang nyata dan Anwar akan menggunakan sastera dan bahasa serta 'perkataan yang tinggi' supaya orang tidak faham maksud sebenar tujuh perkara itu.

“Nanti orang kata dia pintar padahal dia tidak pintar,” katanya.

Jelasnya yang yakin rakyat Sabah bakal kekal bersama BN kerana parti pemerintah itu mempunyai dasar yang berpijak di bumi yang nyata dan menabur janji berdasarkan fakta dan realiti.

“Kita tidak berjanji berdasarkan bulan dan bintang yang tidak mungkin kita kecapi. Orang Sabah tidak bodoh malah mereka sudah faham siapa yang menjual ubat,” katanya.

Dalam pada itu, dua lagi pemimpin Sabah dan Sarawak menyifatkan Deklarasi Kuching hanya sekadar janji palsu sayap itu sama seperti janji lain yang pernah ditabur sebelum ini.

Ketua Puteri Umno, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin berkata, deklarasi yang dilancarkan itu sekadar janji untuk kepentingan sendiri yang tidak akan pernah ditepati oleh pembangkang.

“Bila ditanya, mereka kata janji itu tidak perlu ditepati, malah ia sama seperti janji Anwar Ibrahim (Ketua Umum PKR) yang mahu menubuhkan kerajaan pada 16 September 2008.

“Sehingga ke hari ini tidak ada (kerajaan),” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut beliau yang juga Ahli Parlimen Papar, Sabah, tujuh perkara yang disenaraikan itu hanya sekadar untuk meraih simpati rakyat selain menegaskan bahawa kesemua yang disenaraikan itu telah dilaksanakan dan sedang dilaksanakan oleh kerajaan BN.

“Selama 49 tahun penubuhan Malaysia di bawah pemerintahan kerajaan BN, Sabah dan Sarawak telah melewati perubahan dan kemajuan yang pesat malah tidak ada satu pun aspek diabaikan.

“Baik dari aspek pembangunan, hubungan dengan kerajaan persekutuan, hak anak tempatan, isu tanah adat, isu royalti minyak. Semuanya di tangani dengan cekap dan bersepadu,” jelasnya.

Tambahnya, isu kewarganegaraan juga dalam proses penyelesaian kerana perkara tersebut bukan suatu isu yang mudah untuk diselesaikan dalam jangka masa pendek.

Rosnah juga melahirkan keyakinan dan kepercayaan yang tinggi terhadap rakyat Sabah dan Sarawak di mana mereka tidak akan menyerahkan masa depan mereka kepada Anwar dengan mudah.

“Mereka tahu bahawa hanya kerajaan BN yang mampu untuk membawa kemajuan kepada Sabah dan Sarawak,” katanya.

Mengulas lanjut soal itu, beliau menolak dakwaan usaha pembangkang itu bakal menggugat kedudukan BN di Sabah dan Sarawak.

“Deklarasi ini tidak langsung menggugat kedudukan BN di Sabah dan Sarawak. Hal ini kerana kerajaan BN sentiasa melakukan yang terbaik untuk rakyat di Sabah dan Sarawak dan sentiasa menepati janji.

“Bukan seperti Pakatan Rakyat yang hanya pandai berjanji tetapi tidak ditepati,” katanya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Petra Jaya, Datuk Fadillah Yusof berkata, deklarasi pembangkang itu hanya mainan politik yang mahu memberi gambaran bahawa mereka adalah pejuang sebenarnya.

“Sedangkan apa yang digembar-gemburkan itu sudah diperjuangkan dan kebanyakannya sudah dilaksanakan kerajaan BN.

“Tindakan ini secara tidak langsung menunjukkan bahawa mereka sebenarnya lebih memberi sokongan terhadap apa yang diperjuangkan BN dan bersetuju dengan apa yang dilaksanakan,” jelasnya.

Menurutnya, kemajuan yang dialami Sarawak tidak boleh dibandingkan dengan Kuala Lumpur berikutan perbezaan beberapa aspek seperti sejarah, kependudukan dan sosiobudaya.

“Mereka kata Sarawak jauh ketinggalan tetapi kenapa tidak dibandingkan Sarawak 50 tahun lepas dengan sekarang?” soalnya.

Beliau yang juga Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi itu berkata, pembangkang perlu membuktikan janji yang ditabur pada pilihan raya 2008 di empat buah negeri yang diperintah terutama berkaitan pendidikan percuma.

“September 2008 merupakan penipuan terbesar mereka. Buktikan janji di Kelantan, Selangor, Pulau Pinang dan Kedah. Baru buat janji lagi,” tegasnya.

Fadillah mempersoalkan perkara yang digariskan PR berkaitan dengan kewarganegaraan yang menyebut tentang penubuhan Suruhanjaya Diraja bagi menyelesaikan masalah berkaitan pendatang tanpa izin.

Beliau yakin rakyat Sarawak cukup bijak untuk menilai apa yang sudah dilaksanakan untuk mereka selain mengajak mereka berfikir secara rasional.

“Nilai fakta yang ada, siapa yang boleh jamin masa depan rakyat. Tidak ada pilihan, melainkan bersama BN yang selama ini meletakkan Malaysia di satu tahap yang membanggakan sehingga mencapai keamanan dan kesatabilan yang kita nikmati,” katanya. - Sinar Harian.

1 comment:

  1. Pembohong tersohor akhir zaman.....Janji tinggal janji...janji kosong...kerana pala otaknya dan bathin pun kosong.

    ReplyDelete

Tinggalkan komentar anda untuk dikongsi.

Blog Archive

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...