NAK BAYAR BALIK PINJAMAN PTPTN TIADA MASALAH PELUANG KERJA YANG MASALAH

KUALA LUMPUR – Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) sebagai salah satu alternatif bantuan kewangan bagi melanjutkan pengajian masih relevan tetapi mekanisme pengurusannya perlu dibaiki, demikian menurut beberapa mahasiswa yang menyertai sesi perbincangan meja bulat anjuran Pemuda Umno, semalam.

Mahasiswa dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Nor Hasrul Akhmal berkata, jika sebelum ini pengecualian bayaran balik hanya diberi kepada pelajar yang memperoleh keputusan kelas pertama, tetapi kepada graduan yang mempunyai kelulusan kelas kedua tetapi mempunyai rekod kokurikulum yang cemerlang juga patut diberi pertimbangan.

“Langkah ini secara tidak langsung dapat memberi galakan kepada mahasiswa untuk lebih berusaha di universiti walaupun mereka tidak layak memperoleh biasiswa dari badan lain, tetapi mereka tahu dengan PTPTN mereka juga boleh mendapat biasiswa.

“Selain itu, kelonggaran penguatkuasaan undang-undang turut dikenal pasti menjadi penyebab mengapa masih terdapat segelintir peminjam yang liat membuat bayaran balik.

"Apa yang peminjam tahu, nama mereka disenarai hitam dan tidak boleh ke luar negara jika gagal membayar balik pinjaman,” katanya pada majlis penyerahan resolusi Rundingan Meja Bulat Mahasiswa Nasional 2012 anjuran Pemuda Umno kepada Ketuanya, Khairy Jamaluddin semalam.

Program dua hari itu disertai wakil pelbagai badan bukan kerajaan (NGO), wakil-wakil pelajar dari institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan swasta (IPTS) serta wakil ibu bapa. Ia diadakan untuk mencari resolusi kepada isu PTPTN.

Sementara itu, pelajar Universiti Sultan Zainal Abidin, Nur Raihanah Mohd Rozaimi berkata, sebenarnya PTPTN berperanan membantu mahasiswa yang kurang berkemampuan untuk menyambung pelajaran.

Katanya, usaha pihak tertentu yang mendesak agar kerajaan menghapuskan PTPTN dan menggantikan dengan biasiswa masih kurang jelas bagaimana cara untuk melaksanakannya.

“Sebelum ini saya sendiri kurang jelas mengenai konsep Ujrah satu dan tiga peratus yang diperkenalkan tetapi selepas menghadiri program ini, kekeliruan saya kini semakin terhurai.

“Malah, saya kini lebih menghargai peranan yang dimainkan oleh PTPTN untuk membantu anak bangsa mendapatkan peluang pendidikan yang lebih baik,” katanya.

Dalam masa yang sama, usaha pihak tertentu yang dilihat cuba mempolitikkan PTPTN juga dilihat sangat tidak wajar kerana tindakan itu dikhuatiri akan memberi kesan terhadap ekonomi negara dan perkembangan pendidikan negara.

Wakil ibu bapa, Masiyon Mardan berkata, matlamat negara untuk menghasilkan mahasiswa dalam jurusan kritikal seperti kejuruteraan dan perubatan juga memerlukan pembiayaan yang besar adalah tidak mudah.

“Bukan semua ibu bapa mempunyai kemampuan itu, jadi usahlah mempolitikkan dana yang telah kerajaan sediakan untuk membantu anak-anak kita.

“Nasihat saya, jika masih ada ibu bapa yang masih keliru mengenai isu-isu yang berkaitan PTPTN, berhubung terus dengan badan berkenaan untuk mendapat penjelasan dan jangan mudah mendengar hanya daripada sebelah pihak sahaja,” katanya.

Pengarah Program, Syahrin Md. Jamaludin berkata, tiga perkara yang diberi penekanan sepanjang sesi meja bulat ialah isu pinjaman, bayaran balik dan pelan jangka panjang PTPTN, yang ramai orang tidak tahu mengenai kelebihannya iaitu Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN).

“Sepanjang penganjuran program, wakil-wakil dari PTPTN setia hingga program tamat bagi menjawab semua isu yang dibangkitkan oleh peserta dan program ini turut dikawal selia sepenuhnya oleh sebuah badan bebas dari Institusi Pembangunan Pendidikan Belia Negara Malaysia (IPPBNM) yang bertindak sebagai fasilitator.

“Pemuda Umno termasuk diri saya hanya menjadi peserta di mana kami turut mengemukakan persoalan kepada pihak PTPTN,” katanya.

Ketika diminta mengulas mengenai usaha Pakatan Rakyat (PR) untuk menghapuskan PTPTN, Syahrin berkata, pihak pembangkang sebenarnya tidak faham dan jika mereka jujur memberi pandangan sudah tentu dalam sesi dialog yang dianjurkan mereka, mereka turut menjemput wakil PTPTN untuk memberi penjelasan.

“Bagaimana mereka hendak mendapatkan penjelasan jika tidak mendapat sumber tafsiran yang betul,” katanya. - Sinar Harian

2 comments:

  1. Bukan peminjam PTPTN ni culas nk bayaq hutang. Tapi nk bayaq hutang mcm mana kalau kerja tak ada..nak cari kerja susah..future employer terlalu selective. Nak pointer 3.0 keatas je, pastu nak future employee yang aktif kat universiti. Gila.. Kalau IPTA or IPTS cikai bleh la dapat dua-dua.Speaking from my experience, ada kawan ni cemerlang akademik, tp bila pi interview kat shell, depa kata dia tak layak sbb tak aktif kat universiti (UM), padahal pointer dia 3.75.

    Lagi satu, employer kena ingat. Selalunya budak2 yg akademik cemerlang ni kerja tak lama. Dapat offer lagi cantik, depa blah je.Kadang2 tak sampai 3 bulan kerja dah cabut pi tempat lain. Yg kurang cemerlang ni, dok usung ijazah sana-sini pi interview,nak dapat kerja belum tentu.Duit habih apa pun tak boleh. Padan muka hang toy! orang suruh mengaji hg main-main..

    Bukan soal main2 time belajaq... tapi patutnya bagilah peluang kerja.Kalau rasa tak perform time observation, bagi surat ka, warning ka.. ini tidak, awai2 lagi dah kena tuutp peluang..dari segi kesetiaan, aku rasa, budak pointer rendah ni lagi baguih..

    Alaaa.. time mula2 kerja, reti ka nak buat kerja?pointer tinggi ka, pointer rendah ka, awai2 kerja mesti kena tunjuk ajaq gak. beza skit,cuma level nak pick-up task tu je kot..tapi kalau background sains (engineering degree ka) aku rasa pickup sama je.. dah penah bergelumang dengan kalkulus, algebra, statik, dinamik memang tadak masalah la..

    ReplyDelete
  2. Entah la , tapi pelajar Diploma tak kira pointer tinggi ke rendah tetap kena bayar ....

    ReplyDelete

Tinggalkan komentar anda untuk dikongsi.

Blog Archive

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...