Samun Rakan Sendiri

KOTA BHARU - Padah merompak kenalan sendiri, dua tahun lalu, seorang lelaki dihukum penjara tujuh tahun dan tiga kali sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini, semalam.

Hukuman diputuskan Hakim Azman Mustapha selepas tertuduh mengaku bersalah terhadap tuduhan itu.

Muhammad Harmie Che Yusop,33, bersama seorang lagi yang telah dituduh merompak berkumpulan ke atas harta Mohd Rozaimie Sidik,21, iaitu telefon bimbit Nokia dan wang tunai berjumlah RM500.

Kesalahan dilakukan di Kampung Taweh, Pasir Puteh pada jam 6 petang, 23 Februari 2011. Ketika kejadian, mereka bersenjatakan parang.

Sebelum itu, mangsa yang bersiar-siar dengan membonceng motosikal ditunggangi rakannya didatangi Muhammad Harmie dan seorang lagi tertuduh, Muhamad Syahrul Hafizol Kamarudin memintanya menyerahkan telefon bimbit dan wang tunai.

Apabila pengadu bertanya tujuan meminta barangan itu, Muhamad Syahrul meletakkan parang ke bahu kiri pengadu sebelum beredar selepas kesemua barang itu diserahkan.

Mangsa yang tidak berpuas hati membuat laporan di balai polis Pasir Puteh yang membawa kepada penahanan tertuduh tidak lama kemudian.

Pada prosiding semalam, Timbalan Pendakwa Raya negeri, Asmah Azahari memohon hukuman berat dikenakan kepada tertuduh berikutan kesalahan serius yang dilakukan.

“Perbuatan yang dilakukan tertuduh sudah mengancam keselamatan orang ramai dan tertuduh juga berani melakukan kesalahan itu di tempat terbuka tanpa menghiraukan kehadiran orang lain,” kata Asmah. - Sinar Harian

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan komentar anda untuk dikongsi.

Blog Archive

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...