DUA NENEK BACHOK DI CEKIK DAN DISAMUN

BACHOK–Seorang warga emas terpaksa menempuh hari yang ngeri dalam hidupnya apabila dia diseret dari rumah ke sebuah kereta sebelum disamun dan akhirnya dicampak dalam semak di Kampung Kuchelong, tengah hari kelmarin.

Mek Mat Dam, 70-an berkata, sebelum diseret masuk ke sebuah kereta, dia terpaksa bergelut dengan salah seorang penyamun yang memasuki rumahnya sehingga mereka berdua terjatuh.
Melihat keadaan itu, dua lagi rakan suspek meluru ke arah Mek dan mengusungnya terus ke dalam mereka yang di parkir di jalan berdekatan rumahnya.

“Kejadian berlaku kira- kira jam 12 tengah hari kelmarin, selepas makcik baru pulang dari menjemput cucu, Mohd Afiq Fakhrul Anuar,5, di tadika berdekatan.

Sejurus tiba di rumahnya, makcik ke dapur untuk mengambil masakan tengah hari Mohd. Afiq. Ketika itu Mohd Afiq memanggil makcik mengatakan ada orang mahu berjumpa.

“Apabila makcik keluar ke ruang tamu, suspek terus meluru ke arah makcik dan mencekik leher makcik,” katanya kepada Sinar Harian.

Selepas dibawa menaiki kereta tersebut, suspek mengambil semua barang kemas mangsa yang terdiri daripada seutas rantai leher, tiga utas gelang tangan, cincin dan anting-anting.
Mek berkata, barang kemas itu sememangnya dipakai setiap masa sejak dari usia mudanya sehingga kini.

“Selepas mengambil barangan tersebut, mereka berhenti di tepi jalan dan mencampakkan makcik dalam semak.

“Makcik tidak tahu di mana tetapi makcik gagahi juga berjalan sehingga bertemu sebuah kedai kopi di kampung tersebut,” katanya yang kerugian bernilai RM30,000.


Mek berkata, dia kemudiannya memberitahu pekedai tersebut mengenai kejadian samun dan penduduk di Kampung Kuchelong itu menghubungi penduduk di Gunong untuk meminta bantuan sebelum dibawa pulang oleh salah seorang penduduk.

Menurut suaminya, Mat Yusof Che Lah,75, ketika kejadian dia berada di kedai kopi kira- kira 150 meter dari rumahnya, manakala, anak bongsu, Nurul Azita, 34, dan menantunya, Mat Zulkifli Mat Zin,40, yang tinggal bersama mereka keluar ke pekan Jelawat.

“Selepas cucu kami melihat neneknya dicekik dan dilarikan penyamun itu, dia terus berlari ke kedai menjual ayam untuk memberitahu orang ramai. Salah seorang penduduk yang berada di situ terus berlari ke rumah dan sempat menyergah salah seorang suspek yang cuba memasuki semula rumah kami.

Suspek dikatakan melarikan diri sejurus terkejut melihat orang ramai menyedari kejadian itu,” katanya yang membuat laporan polis dibuat di Balai Polis Gunong.

Menurutnya dia percaya, suspek terdiri daripada empat lelaki termasuk pemandu kereta yang menaiki kereta Proton Inspira berwarna hitam dengan cermin gelap.

Menurutnya, ketika itu anak sulungnya, Siti Zabidah,54, yang dalam perjalanan dari pekan Jelawat berselisih dengan kereta tersebut yang dipandu laju dari arah Gunong dalam keadaan mencurigakan dan lampu kecemasan dinyalakan.

Akibat kejadian itu, keadaan Mek trauma dan demam sehingga perlu diberikan suntikan di klinik berhampiran untuk mengurangkan kesakitan pada badannya akibat bergelut dengan suspek.

Sementara itu, Ketua Polis Kelantan, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian itu.

“Kita sudah mengenal pasti suspek dan sedang memburu mereka,” katanya.

Sebelum itu beberapa minggu yang lalu,  kejadian ragut melibatkan seorang warga emas di Kampung Cherang Sepulai Simpang 3 Melawi dilaporkan berlaku ketika mangsa,  Meriam Mamat 67 ,  berjalan kaki menuju ke Surau yang jarak cuma 50 meter dari rumahnya untuk menunaikan solat subuh.

Tanpa disedari  dua dari tiga orang lelaki yang memberhentikan kenderaan jenis Proton Persona berwarna kelabu bertindak mencekik leher mangsa dari belakang sebelum melarikan dua utas rantai emas dan tiga utas gelang tangan milik mangsa, kerugian dianggarkan bernilai RM30,000.

Menurut jurucakap Polis, Kejadian hampir sama turut dilaporkan berlaku di Perupok  malam kelmarin, bezanya mangsa disamun semasa berada didalam rumah, bagaimanapun pihak Polis  yakin dari modus operandi yang digunakan penjenayah, ianya didalangi oleh orang yang sama.

Dengan kejadian tersebut diminta masyarakat supaya lebih berhati-hati terutamanya mereka yang tinggal berhampiran kawasan tersebut, elakkan memakai barangan kemas yang sentiasa menjadi buruan penyamun.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan komentar anda untuk dikongsi.

Blog Archive

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...