DEMOKRASI SUATU MATLAMAT ATAU SUATU ALAT - TUN MAHATHIR

KUALA LUMPUR - Demokrasi akan hanya berperanan seperti yang diharapkan apabila manusia memahami batasannya, kata bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau berkata demokrasi tidak akan membawa kebaikan yang dijanjikannya jika rakyat hanya memikirkan tentang kebebasan demokrasi, tetapi tidak tahu tentang tanggungjawab yang datang bersamanya.

"Sebaliknya, ia akan hanya menimbulkan ketidakstabilan dan ketidakstabilan tidak akan mengizinkan berlakunya pembangunan dan membolehkan manusia menikmati manfaat daripada kebebasan serta hak yang dijanjikan demokrasi," katanya.

Dr Mahathir, yang menjadi perdana menteri Malaysia selama 22 tahun sebelum melepaskan jawatan itu pada 2003, berkata demikian ketika menyampaikan syarahan utama pada majlis konvokesyen khas University of Santo Tomas (UST) di Manila, ibu negara Filipina.

Dr Mahathir dianugerahi gelaran profesor kehormat oleh universiti berkenaan.

Gelaran itu dianugerahkan kepada tokoh dari luar negara yang mengukir pencapaian cemerlang dalam bidang kepakaran masing-masing.

Dalam kenyataannya, Kementerian Luar berkata penerima gelaran itu sebelum ini termasuk pemenang hadiah Nobel dalam bidang kimia dan seorang canselor dari Vatican.

Dalam ucapan beliau, yang teksnya diedarkan kepada media di sini, Dr Mahathir menjelaskan dengan panjang lebar tentang kemungkinan kelemahan yang terdapat pada demokrasi, dengan merujuk kepada sebuah negara yang tidak mampu mencapai kemajuan kerana apa yang beliau sifatkan sebagai "terlalu banyak demokrasi".

"Sebaik saja sesebuah kerajaan dipilih, pihak yang kalah akan mengadakan demonstrasi dan mogok umum, menuduh kerajaan melakukan penyelewengan.

"Kerajaan perlu menangani gangguan ini dan membelakangkan tugas mengurus tadbir yang sepatutnya dilakukannya. Gangguan ini boleh menjadi begitu serius hingga memaksa kerajaan itu berundur," katanya tanpa menyebut nama negara yang beliau maksudkan.

Dr Mahathir berkata walaupun negara berkenaan mengamalkan demokrasi, tetapi beliau mempersoal sama ada itu adalah demokrasi yang sebenarnya, sambil bertanya " adakah demokrasi suatu matlamat atau suatu alat?"

Sambil menyatakan bahawa Malaysia bukan sebuah negara demokrasi liberal, beliau berkata selalunya, demokrasi dilihat menyediakan suatu 'cara mudah' untuk menukar kerajaan.

"Tak perlu revolusi, tak perlu perang saudara, tak perlu Arab Spring. Hanya dengan satu undi, kerajaan akan jatuh atau dipilih semula berdasarkan kehendak rakyat," kata Dr Mahathir.

Beliau menegaskan bahawa di Malaysia, calon dari parti pembangkang boleh menang dan malah telah menawan beberapa kerajaan negeri.

Mengenai kepimpinan, Dr Mahathir berkata ia tidak boleh sekali-kali mengamalkan rasuah dan perlu memiliki beberapa kemahiran serta idea berkaitan pentadbiran dan pembangunan negara. "Nilai seorang pemimpin diukur mengikut idea yang dimilikinya. Untuk membawa kemakmuran kepada negara, dia perlu tahu dasar apa yang perlu dilaksanakan dan strategi mana yang perlu digunakan," kata beliau.

Beralih kepada ekonomi, Dr Mahathir, yang baru-baru ini dipelawa Yemen untuk menjadi penasihat ekonomi khas negara itu, berkata beliau percaya dalam iklim ekonomi yang bermasalah sekarang, Asean perlu bekerjasama secara lebih produktif dan memanfaatkan pasarannya yang terdiri daripada setengah bilion orang.

"Sebenarnya, negara Asia Tenggara memiliki potensi pertumbuhan, kemakmuran dan kuasa yang besar. Apa yang kita perlukan hanyalah rakyat dan pemimpin yang sayangkan negara serta rakyat mereka, lebih daripada diri mereka sendiri," katanya.

Kemeterian Luar berkata ketibaan Dr Mahathir dan isteri Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali di Manila semalam disambut Duta Malaysia ke Filipina Datuk Seri Dr Ibrahim Saad dan para pegawai kedutaan.

Dr Mahathir juga mengadakan perjumpaan dengan masyarakat Malaysia dan menyampaikan ucaptama bertajuk 'Pembinaan Negara dan Pembangunan Ekonomi' pada majlis makan malam anjuran Asia Society di sebuah hotel terkemuka di sana. - Bernama

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan komentar anda untuk dikongsi.

Blog Archive

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...