JANGAN KAITKAN SAYA DENGAN 'KONGSI GELAP' - MUSA HASSAN

Mantan Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan berpandangan mereka yang mengaitkannya dengan kumpulan kongsi gelap sewaktu beliau masih berkhidmat cuba merosakkan nama baiknya.

Musa percaya ia dibuat kerana beliau adalah pegawai penyiasat dalam kes Liwat 1 melibatkan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Mereka ingin merosakkan reputasi saya. Ini juga ada kaitan dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim. Apabila reputasi saya rosak Anwar boleh kata saya menganiaya dia," katanya.

Musa bagaimanapun tidak mengesahkan yang pegawai-pegawai kanan polis yang dimaksudkannya itu mempunyai kaitan secara langsung dengan Ketua Pembangkang itu.

Dua pegawai tertinggi polis, Datuk Ramli Yusuff dan Mat Zain Ibrahim sebelum ini dilaporkan bersedia memberi keterangan jika tribunal ditubuhkan untuk menyiasat Musa dan Tan Sri Abdul Gani Patail.

Tribunal itu bertujuan menyiasat kebenaran dakwaan bahawa Musa bertanggungjawab membebaskan seorang ketua kongsi gelap Johor, dikenali sebagai Goh Cheng Poh atau Tengku Goh.

Dalam temubual dengan Malaysiakini, Musa mengaku mengetahui tuduhan terhadap Tengku Goh namun beliau tidak mengenalinya secara individu.

"Saya tak kenal Tengku Goh pun. Masa di Johor saya tahu dia terlibat dengan ekor haram.

"Masa itu saya dimaklumkan Tengku Goh ditangkap Commercial Crime (jenayah perdagangan) kerana terlibat dengan judi.

"Saya putuskan semasa mesyuarat Commercial Crime (jenayah perdagangan) hanya ambil tindakan terhadap along (sindiket wang haram), bukan judi. Judi (di bawah kendalian) D7. Kenapa dia (Ramli)
pula yang pergi menyiasat?" katanya.

Ramli yang merupakan mantan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil sebelum ini mendakwa ditugaskan Timbalan Menteri Dalam Negeri pada masa itu, Datuk Johari Baharom untuk membanteras sindiket pinjaman wang haram di Johor.

Dalam siasatannya, Ramli mendakwa menemui perkaitan di antara Tengku Goh dan Musa.

Ramli mendakwa, bagi melindungi dirinya, Musa kemudian berpakat dengan Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail untuk menganiaya pasukannya yang menyiasat Tengku Goh.

Jabatan Peguam Negara dilaporkan mendakwa enam orang pegawai penyiasat pasukan Ramli atas tuduhan memalsukan bukti, namun semua tuduhan itu kemudiannya digugurkan.

Sewaktu ditanya tentang tuduhan yang beliau menghapuskan rangkaian kongsi gelap lain di Johor bagi membolehkan ia ditadbir Tengku Goh sahaja, Musa menjawab tindakan itu, jika benar, adalah 'tindakan yang bodoh'.

"Kenapa saya hendak buang network (rangkaian) ini dan ambil orang baru jadi ketua dan buat network lain.

"Bukan senang nak ada network (rangkaian). Kalau saya nakkan duit, baik saya ikut network (rangkaian) lama. Jadi saya rasa tak logik," katanya.

Dalam wawancara sama, Musa turut mendedahkan yang tindakan
terhadap Ramli (kiri) adalah kerana satu laporan yang dibuat Jeffrey Pairin Kitingan yang mendakwa Ramli memiliki tanah seluas 200 ekar di Sabah.

"Saya dikatakan menganiayai seseorang. Padahal yang buat report (adalah) Jeffrey Pairin Kitingan yang mendakwa dia (Ramli) ada tanah 200 ekar di Sabah. Sebab itu SPRM siasat. Ia kemudian membawa kepada siasatan akaun beliau," katanya.

Ramli sebelum ini dituduh tidak mengisytiharkan hartanya sebanyak RM27 juta kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan juga dakwaan menggunakan pesawat Cessna milik polis untuk meninjau tanah miliknya di Sabah, sewaktu bertugas sebagai Pesuruhjaya Polis Sabah.

Ramli kemudian dibebaskan Mahkamah Sesyen sehingga ke Mahkamah Rayuan yang memutuskan beliau tidak perlu dipanggil membela diri.

Tidak kenal BK Tan

Dalam wawancara yang sama, Musa turut ditanya tentang dakwaan bahawa beliau meminta nasihat seorang lagi individu dalam kongsi gelap, dikenali sebagai BK Tan dalam memutuskan kenaikan pangkat pegawai-pegawai kanan polis.

Menjawab soalan itu, Musa berkata beliau mengenali ramai BK Tan dan kenaikan pangkat pegawai kanan polis turut disaring Perdana Menteri serta jawatankuasa tatatertib polis.

"Semua nama untuk kenaikan pangkat saya serahkan kepada Perdana Menteri. Bukan saya seorang naikkan pangkat orang," katanya.

Menjawab dakwaan bekas pembantunya (aide de camp), Noor Azizul Rahim yang membuat pengakuan bersumpah dan mengaku melihat sendiri perkara itu berlaku, Musa mengatakan yang beliau bebas meminta nasihat sesiapa sahaja dalam perkara itu.

"Saya naikkan pangkat orang yang perform dan tidak terlibat dengan rasuah," katanya.

Di sebalik semua dakwaan itu, Musa berkata beliau tidak pernah menyesal memimpin pasukan polis selama empat tahun kerana beliau tetap mendapat sokongan sebahagian daripada mereka yang berada dalam pasukan itu.

Namun, beliau simpati dengan mereka yang menyokongnya dahulu tetapi kini 'dipinggirkan' dalam pasukan polis.

"Tidak mengapa. Saya terima kerana saya tahu saya buat yang terbaik untuk pasukan.

"Memang ada yang bersama (saya) tetapi apabila (saya) pencen, nama mereka susah nak 'naik' (dipertimbang untuk kenaikan pangkat)," katanya. -Malaysiakini.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan komentar anda untuk dikongsi.

Blog Archive

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...