MENANGISI KEHILANGAN ISLAM DI SPAIN - IKTIBAR UNTUK PENYOKONG PAS - DR ASRI

Muslim masuk menguasai Spain pada tahun 711M. Tentera Tariq bin Ziyad seramai 12000 orang telah berjaya mengalah pasukan tentera King Roderic yang seramai 90,000 orang. Dikatakan, asalnya Tariq bin Ziyad datang atas pemohonan bantuan Julian, Gabenor Ceuta kepada Gabenor muslim di Utara Afrika Musa bin Nusair. Julian memohon bantuan disebabkan anak perempuannya yang dihantar belajar telah dirogol oleh King Roderic. Setelah masuk, Tariq akhirnya meneruskan operasi sehingga menguasai Spain keseluruhannya. Sebahagian pengkaji pula menyebut bahawa muslim datang menawan Spain disebabkan permohonan bantuan oleh orang-orang Yahudi atas kekejaman Kristian.

 Apapun, dalam sejarah muslim di Spain, kerajaan umat Islam telah berjaya memperlihatkan sikap toleransi antara penganut agama yang sangat tinggi. Di bawah pemerintahan muslim di Spain, Yahudi dan Kristian dapat hidup dengan aman dan gemilang. Bahkan ‘The Golden Age of Jewish History’ adalah semasa pemerintahan Islam di Spain. Sehingga tokoh ilmuwan Yahudi yang terkenal Musa bin Maimun (Moses Maimonides) menganggap bahawa pemerintahan muslim di Spain adalah ‘the golden age of freedom and tolerance’ untuk penganut Yahudi.

Demikian juga penganut Kristian, mereka menikmati hak beragama dan bergaul dengan semua rakyat tanpa kezaliman dan penindasan. Ini adalah hakikat sejarah. Justeru itu, ramai penduduk Spain menganut Islam tanpa sebarang paksaan kerana memaksa seseorang menganut Islam adalah menyanggahi asas arahan al-Quran. (lihat: Maryam Noor Beig, The Legacy of Andalus: Muslim Spain)

Di bawah pemerintahan kerajaan Muslim di Spain, Yahudi dan Kristian bebas mengamal agama mereka. Sebahagian mereka menjadi tokoh-tokoh ilmuwan yang besar dan penting. Hubungan antara penganut agama amat baik. Walaupun ada sebahagian penulis Barat yang cuba menafikan hal ini dengan menyatakan status ‘ahlu zimmah’ yang dipakai ketika itu menjadikan non-muslim itu sebenarnya second-class citizen. Padahal, ahlu zimmah bermaksud mereka itu dilindungi.
Penulis dalam Masjid Cardova yang telah bertukar menjadi gereja.
Apapun, jika dibandingkan dengan Kerajaan Krisitian yang menawan Spain selepas kejatuhan Muslim jauh lebih kejam dan zalim. Muslim dan Yahudi dipaksa menganut Kristian. Mereka dibunuh, bahkan dibakar hidup-hidup jika enggan. Sebahagian mereka dihalau keluar dari negara kerana perbezaan agama. Agama selain Kristian tidak dibenarkan diamalkan sama sekali. Hal ini diakui oleh para pengkaji sejarah dari pelbagai agama. Sesiapa yang berminat mungkin dia boleh menonton documentary dalam youtube: “The Rise And Fall of Islamic Spain”.

Namun, itu semua telah menjadi sejarah. Kerajaan Spain jatuh dan tamadun mereka dihancurkan oleh Kristian, hanya tinggal saki baki yang sedikit. Masjid Cardova yang indah dan agung telah bertukar menjadi gereja. Islam dihalau, dan sebahagian besar dipaksa menganut Kristian. Kesan-kesan Islam semampu mungkin cuba dihakiskan. Semua itu bermula dari pengkhianatan dan permusuhan sesama sendiri atas kerakusan kuasa. Mereka berpecah dan bermusuhan. Rakyat dan umat menjadi mangsa. Ratusan tahun tamadun yang dibina, akhirnya gugur dan tidak bangkit lagi.
Cordova dalam kenangan
Walau bagaimana pun, hari ini dunia menikmati hasil peninggalan Andalusia. Ilmu-ilmu yang diwariskan, telah diciplak dan dikembangkan oleh Eropah. Umat Islam hanya mampu menyebutnya, tanpa meneruskannya lagi. Memalukan. Namun, Spain menjadi saksi bahawa sikap toleransi antara agama khususnya Islam, Yahudi dan Kristian telah dibuktikan di bawah pentadbiran umat Islam. Ajaran Islam, menentang penindasan agama. Kehancuran toleransi di Spain adalah selepas kejatuhan Islam ke tangan tentera Kristian. Mereka tidak mengamal apa yang diajar oleh Jesus.

Saya juga tidak mengatakan bahawa para pemerintah umat Islam Spain ataupun Andalusia itu benar-benar Islamik. Ada perbuatan mereka yang betul, dan ada yang salah. Ya, kerana dosa juga mereka jatuh. Namun, asas toleransi telah mereka amalkan, kerana itu dasar ajaran Islam dalam politik. Malangnya, dasar itu tidak dipegang oleh tentera Kristian yang menawan Andalusia.

Saya bayangkan, jika Barat hari ini masih kuat Kristian, dan ia menjadi dasar pemerintahan, tentu agama lain sukar untuk hidup di Barat. Namun, dengan pemisahan agama dan politik di Barat telah menyelamatkan banyak keadaan.

Demikian dunia muslim. Jika hendak amalkan Islam, amalkan Islam yang sebenar yang akan memberikan keadilan dan kerahmatan kepada semua manusia. Jika Islam sekadar topengan dan permainan politik, lebih baik dipisahkan agama dari politik. Dengan itu, Allah dan Nabi tidak akan dicerca oleh yang salahfaham. Kembara ke Spain banyak memberi inspirasi. -Sumber - disunting dari laman DrMaza

1 comment:

  1. Nak tambah nasi sekepal dua ke artikel ini untuk di kongsi-kongsi kan - macam makan setalam la kiranya

    Kisah ratapan Abu Abdullah Muhammad ke dua belas Sultan terakhir kerajaan Granada.(kerajaan Islam di Spain)

    Bila beliau di halau dari tanah Granada oleh Isabella ( serupa ejaan dengan lagu SEARCH) dan suaminya Ferdinand setibanya di satu kawasan beliau dengan hiba memandang kebelakang menangis kesal atas kehilangan Granada.

    Kemudian bondanya sendiri menempelak beliau dengan kata-kata

    "Thou dost weep like a woman for what thou couldst not defend as a man." sumber wikipedia

    Terjemahan Penulis :-

    "Sekarang kamu menangis laksana seorang wanita atas apa yang kamu tidak dapat pertahankan seperti seorang Lelaki"

    (*Zaman itu pengaruh Ibu besar dan kuat- bukan zaman sekarang Aiskrim lebih penting dari Ibu)

    Kita kena pertahankan negara ini. Jangan jadi macam Abu Abdullah Muhammad ke dua belas. Memang ada kesalahan-salahan beiau dalam pentadbiran terutamanya dalam hal sosial.

    Rumah Gundik (harem- : baca : berlebih-lebihan dalam soal seksualiti,) arak malahan homoseksual pun ada (lelaki muda yang licin muka - Bahasa Inggeris - catamite - zaman itu terma homoseksual belum ada lagi). Perhatikan ianya seakan berulang di tanah ini.

    Walaupun kita ini di Malaysia terasnya Islam hal-hal sebegini kena jaga. Malu nak cakap tapi hakikatnya orang melayu Islam pun banyak membuat masalah seperti ini. Kalau tidak kenapa rumah-rumah arak, rumah urut , rumah-rumah tari menari boleh hidup dan maju perniagaaannya? Jangan kata pelanggannya hanya dari bukan ISlam sahaja.

    Saya sendiri semakin hari semakin ngeri melihatkan perlakuan umat Islam di Malaysia. Jangan sampai Allah turunkan bala seperti di Spain.

    Kita mungkin kehilangan negara ini secara fizikal atau secara benifisialnya samada dari segi politik dan sebagainya suatu hari nanti. Mungkin hilang Sultan, hilang hak malahan lagi teruk hilang agama (Nauzubilllah)( Baca: TURKI)

    Kita juga akan menangis seperti Abu Abdullah Muhammad apabila kita memandang ke belakang ke bumi bertuah ini apabila kita kehilangannya esok. Masa itu kita mungkin atas Tongkang sebagai pelarian untuk mencari perlindungan ke negara Islam BANGLADESH (negara Islam yang hampir selain dari kawasan nusantara)- ke negara yang orang-orang yang kita sering panggil BANGLA (dalam konatasi menghina)

    Jagalah negara ini. Ada anak yang dah berboifren tu/girlfren tak kiralah umur berapa tu LEMPANG lah mereka sikit. Periksalah handphone mereka selalu. Jagalah Akhlak mereka. Solat etc. Kurangkan Hiburan dan percampuran lelaki perempuan. Tak perlulah nak ikut macam Nik Aziz (sebab dia tu taraf WALI dah - bukan senang nak dapat taraf SYaitan pun tunduk dan jadi sahabat - zuhud sampai menyudu pinggan depan kamera pulak tu)cukup sekadar bersederhana, hati jernih dan ihklas. Jagalah hak bukan Islam dan saudara Islam kita terutamana yang kita dok selalu hina macam BANGLA.

    Semoga kita tidak menangis seperti Abu Abdullah Muhammad ke dua belas nanti. Manusia boleh mengetahui dari penggunaan akal rujukan Quran dan Sunnah - TETAPI hanya ALlah s.w.t yang Maha Mengetahui.

    ReplyDelete

Tinggalkan komentar anda untuk dikongsi.

Blog Archive

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...