"KEPUTUSAN SAYA MUKTAMAD - JANGAN PUJUK RAYU LAGI" - TUNKU AZIZ

PETALING JAYA - Naib Pengerusi DAP, Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim menegaskan bahawa beliau tidak akan sekali-kali mengubah keputusannya dan kembali menyertai parti itu walaupun dipujuk untuk berbuat demikian.

Tegas Tunku Abdul Aziz, sebagai seorang ahli politik yang berprinsip, pendirian beliau untuk meninggalkan DAP dibuat berdasarkan pertimbangan rasional tanpa dipengaruhi emosi.

"Tidak..tidak...tidak, saya tak akan pertimbangkan keputusan yang telah saya buat. Ini keputusan muktamad. Lagipun keputusan ini bukan sesuatu yang mudah dibuat.

"Saya tidak buat keputusan secara terburu-buru. Ini bukan perkara main-main," katanya ketika dihubungi mStar Online di sini, Selasa.

Tunku Abdul Aziz berkata demikian sebagai mengulas mengenai kenyataan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng yang mahu beliau mengubah keputusannya dan kembali bersama DAP.

Lim yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang turut menyatakan kesedian menghubungi dan menemui Tunku Abdul Aziz dan berbincang agar beliau mengubah keputusan untuk berundur dari parti itu.

Pada Isnin, dalam satu rancangan televisyen, Tunku Abdul Aziz yang dilantik sebagai naib pengerusi sebaik sahaja menyertai DAP pada Ogos 2008, mengumumkan hasratnya untuk keluar dari parti itu berikutan tiada persefahaman dengan pucuk pimpinannya.

Baru-baru ini beliau menerima kecaman pembangkang termasuk kepimpinan DAP ekoran kenyataan terbukanya membantah perhimpunan Bersih 3.0 yang disokong parti itu pada 28 April lalu.

Malah keputusan DAP tidak menyambung perkhidmatan Tunku Abdul Aziz sebagai Senator dikaitkan dengan kritikannya itu.

Mengulas lanjut mengenai keputusan mengejutnya itu, Tunku Abdul Aziz mengucapkan terima kasih kepada Lim kerana mengambil berat terhadap keputusannya itu.

"Terima kasih kepada saudara Guan Eng. Tapi keputusan telah dibuat, tidak perlu pujuk atau rayu lagi. Saya kekal dengan keputusan ini iaitu keluar DAP," katanya sambil menegaskan masih belum menerima sebarang panggilan daripada Lim lagi.

Berhubung peletakan jawatannya, Tunku Abdul Aziz berkata beliau sudah menghantar surat kepada ibu pejabat parti.

"Sebenarnya pada semalam (Isnin) lagi saya sudah hantar surat itu menggunakan perkhidmatan pos ekspres ke Ibu Pejabat DAP. Saya harap hari ini mereka sudah menerimanya," katanya. -Mstar.

1 comment:

  1. LIM GUAN ENG....KEPUTUSAN MUKTAMAD....NO MORE TALIAN HAYAT.WHAT DO YOU THINK LIM ...TUNKU ABDUL AZIZ NOT A SMALL BOY. HE IS A LEARNED PERSON. HE MUST HAVE NOTICED DAP = DALAM ADA PENIPUAN!

    WHATS GOOD ENDS WELL. CONGRATS TUNKU...YOU DID THE RIGHT THING.

    ReplyDelete

Tinggalkan komentar anda untuk dikongsi.

Blog Archive

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...