NEGARA AKAN KEMBALI TAHUN 1511 JIKA PR MEMERINTAH NEGARA


TASEK GELUGOR - Negara akan kembali ke era tahun 1511, dengan agenda bumiputera tidak lagi diwujudkan, sekiranya Barisan Nasional (BN) kalah pada pilihan raya umum ke-13, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Nor Mohamed Yakcop.

Beliau berkata negara berkemungkinan kembali kepada zaman pemerintahan Francis Light dan Alfonso de Albuquerque jika pakatan pembangkang mengambil alih tampuk pemerintahan kerana mereka dilihat tidak mampu memperjuangkan agenda bumiputera.

"Kita tahu bahawa agenda bumiputera satu perkara penting pada tahun sebelum tahun 1511. Selepas itu, selepas 446 tahun kita tak cakap mengenai agenda bumiputera dan selepas merdeka baru kita kembali memperjuangkan agenda bumiputera.

"Kita tak pasti sama ada parti yang memerintah (pakatan pembangkang) akan pegang kepada konsep agenda bumiputera. Kalau mereka memerintah automatik kita akan balik ke zaman 1511," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Projek Usahawan Gemilang anjuran Majlis Tindakan Ekonomi Melayu Berhad di sini Ahad.

Beliau berkata perkara itu kini boleh dilihat di Pulau Pinang apabila masyarakat Melayu seakan-akan dipinggirkan dan agenda bumiputera juga tidak diperjuangkan di negeri ini.

Nor Mohamed yang juga Anggota Parlimen Tasek Gelugor berkata hal sedemikian tidak akan berlaku jika BN kekal sebagai kerajaan memandangkan sejak negara memperoleh kemerdekaan pada tahun 1957, pelbagai usaha telah dijalankan untuk memperjuangkan agenda bumiputera bagi meningkatkan taraf hidup masyarakat itu.

Katanya beliau yakin BN akan kekal berkuasa di Putrajaya dan negeri lain kerana sokongan dan keyakinan rakyat kepada parti itu semakin meningkat.

Beliau berkata BN akan memastikan rakyat akan terus bersama menyokong kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam menjadikan negara sebagai sebuah negara berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan komentar anda untuk dikongsi.

Blog Archive

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...