PRU 13 LEPAS RAYA LEBIH BAIK - TUN MAHATHIR

KUALA LUMPUR -Tun Dr Mahathir Mohamed yakin Barisan Nasional (BN) di bawah kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, berupaya memperoleh kemenangan lebih baik dalam pilihan raya umum akan datang berbanding pencapaiannya pada 2008.

Bekas Perdana Menteri itu berkata, terdapat beberapa petanda baik untuk membubarkan Parlimen, namun ia terpulang kepada Najib bagi menentukan sama ada BN berupaya mencapai objektifnya untuk memperoleh majoriti dua pertiga.

"Saya juga amat yakin beliau (Najib) ingin mencapai majoriti dua pertiga, namun sama ada ia boleh dicapai atau tidak, itu adalah perkara yang berbeza.

Tetapi saya fikir beliau mungkin boleh melakukannya lebih baik daripada 2008," katanya kepada pemberita selepas diisytihar Ikon Membaca Nasional Keempat di Perpustakaan Negara hari ini.

Apabila ditanya masa terbaik untuk Najib membubarkan Parlimen, bekas perdana menteri itu dengan pantas menjawab, "Selepas raya."

Beliau turut mengulas kenyataan bekas Presiden MCA, Tun Dr Ling Liong Sik bahawa BN tidak mampu menawan Selangor jika pilihan raya umum diadakan dalam bulan Jun.

"Hendak kata tidak menang tu tidaklah... tetapi kita perlu ambil masa, saya fikir kalau saya masih jadi Perdana Menteri, saya akan ambil masa yang cukup (sebelum membubarkan parlimen), kita ada sampai 2013," katanya.

Kepada soalan lain, Dr Mahathir berkata beliau yakin demonstrasi jalanan 28 April di ibu negara baru-baru ini hampir tidak mempunyai sebarang kesan terhadap pilihan raya umum akan datang kerana rakyat menyedari ia bukanlah berkaitan reformasi pilihan raya.

"Ia hanya cuba memberi gambaran bahawa kerajaan negara ini melakukan penindasan dan mengamalkan kekejaman polis agar mereka boleh menumbangkan kerajaan melalui demonstrasi.

"Mereka fikir mereka tidak boleh menang dalam pilihan raya, jadi mereka fikir kita (Malaysia) perlu diperlihatkan seperti Tahrir Square di Kaherah dimana demonstasi diadakan setiap hari sehingga akhirnya kerajaan dapat ditumbangkan, itu sebenarnya yang mereka mahu lakukan," katanya.

Mengulas khabar angin bahawa anaknya, Datuk Mukhriz Mahathir kini mengintai peluang untuk menjadi Menteri Besar Kedah, Dr Mahathir berkata beliau tidak mempunyai sebarang komen mengenai perkara itu.

"Yang lebih penting ialah apa yang kepimpinan mahu beliau lakukan." - Bernama

- Tepat sekali kenyataan Tun M mengenai PRU 13, dan Najib mesti mengambil kira pandangan tersebut, itulah yang sepatutnya, bukan soal tak boleh menang, tetapi  kemenangan 2/3 adalah perlu bagi memulihkan kembali kepimpinan kerajaan Barisan Nasional

- Banyak perkara lagi yang perlu dilihat dan dikenalpasti akan kelemahan yang terdapat disetiap kawasan yang wajib diatasinya, sekarang ini gerak kerja BN yang dilakukan khasnya di Kelantan bukanlah ditahap yang boleh memenangkan BN dinegeri ini, belum cukup lagi usaha dan CARAnya.
Anda Mampu Mengubahnya...

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan komentar anda untuk dikongsi.

Blog Archive

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...