Mashitah: Nurul Izzah Boleh Dikenakan Hukuman Penjara Tidak Lebih Dua Tahun

KUALA LUMPUR - Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mashitah Ibrahim berkata, kenyataan Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Nurul Izzah Anwar berhubung kebebasan beragama termasuk kepada orang Melayu boleh dikategorikan sebagai menghina dan mempersendakan Islam.

Menurut beliau, ini kerana tiada peruntukan atau enakmen khusus yang boleh digunakan kepada orang Islam jika didapati cuba mengajak orang Islam lain untuk murtad.

"Kalau seorang bukan Islam mendakyah orang Islam untuk keluar Islam, maka kita ada dalam enakmen kawalan agama.

"Tapi yang wujud hari ini bukan orang bukan Islam yang ajak orang Islam (murtad), tapi orang Islam yang mengajak dan membuka ruang untuk orang Islam sendiri memilih agama setelah ibu bapanya mendidik dan ibu bapa mewariskan agama tersebut (Islam) kepada anak.

"Setakat ini tiada peruntukan khusus sebegitu (tindakan terhadap orang Islam), tapi boleh dimasukkan di bawah peruntukan menghina agama Islam atau menyebabkan Islam dipandang hina," katanya pada persidangan Dewan Rakyat di sini, Rabu.

Menurut Mashitah, berdasarkan enakmen kawalan agama, mana-mana orang secara lisan atau bertulis mempersendakan atau menyebabkan Islam dipandang hina boleh dikenakan hukuman tidak lebih RM3,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Mashitah berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Datuk Mohamad Aziz (BN-Sri Gading) yang ingin mengetahui mengenai tindakan yang boleh diambil terhadap Nurul Izzah berhubung kenyataannya itu.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan komentar anda untuk dikongsi.

Blog Archive

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...