Rompakan Salon Di Kelantan 6 Tebusan Yang Ditawan Berjaya Dibebaskan

KUALA KRAI - Drama tebusan selama tiga jam dengan perompak menawan enam tebusan di sebuah salun di Jalan Besar Guchil, dekat sini, semalam, berakhir selepas polis bertindak menyerbu premis itu dan menahan suspek.

Suspek lelaki berusia 27 tahun bersenjatakan pistol palsu dan sebilah pisau itu diberkas, selepas sepasukan polis menyerbu premis berkenaan kira-kira jam 5.30 petang.

Suspek terbabit cuba menyamun salun itu kira-kira jam 2.20 petang sebelum menahan bapa pemilik salun, empat pekerja dan seorang orang awam, apabila perbuatannya disedari polis yang menerima laporan daripada seorang pekerja terbabit.

Kesemua tebusan selamat dan dihantar ke Hospital Kuala Krai (HKK) untuk rawatan, dengan seorang daripada pekerja wanita mengalami kecederaan ringan di bahagian leher akibat terlalu lama dipaut suspek.

Suspek sebelum itu membebaskan tiga tebusan lebih awal hasil perundingan dengan polis dan menahan seorang pekerja wanita, Nazira Isa, 18, tanpa menyedari ada lagi dua pekerja bersembunyi di bilik rawatan muka dan tandas di bahagian belakang salun berkenaan.

Nazira berkata, sebelum kejadian, dia sedang membaca buku apabila terdengar loceng pintu salun dibunyikan, dan cuba membukanya dengan menekan butang automatik di kaunter.

“Bila tak dapat buka dari kaunter, saya pergi buka pintu dan seorang lelaki terus meletakkan pistol di belakang dan memaut leher saya sambil meminta kami supaya menghubungi pemilik salun,” katanya.

Selepas kira-kira sejam dia ditahan sambil lehernya dipaut, Nazira berkata, penjenayah terbabit melepaskannya selepas melihat dia mengalami sesak nafas dan beralih kepada seorang lagi pekerja, Siti Roskasma Rozali, 25.

Siti Roskama pula berkata, selepas masuk dan menahan Nazira, penjenayah terbabit memintanya membuka kaunter wang dan menghubungi pemilik salun.

“Selepas lelaki ini lepaskan Nazira, dia paut leher saya,” katanya yang baru tiga bulan bekerja di salun itu.
Pekerja yang menghubungi polis, Mohd Zafri Mat Hussin, 24, berkata, sebelum kejadian, dia berada di bahagian belakang salun dan bertindak menyembunyikan diri dalam tandas apabila menyedari tindakan lelaki terbabit.

“Memang masa itu saya amat takut tetapi saya tenangkan diri dan hubungi polis,” katanya yang bersembunyi dalam tandas sehingga kejadian tebusan itu selesai.
Pekerja yang bersembunyi dalam bilik rawatan muka, Nur Nadia Najwa Zainuddin, 18, berkata, dia terus lari ke bilik itu untuk bersembunyi apabila menyedari kehadiran penjenayah terbabit.

“Saya nak bersembunyi dalam tandas tetapi takut bertembung dengan Zafri. Masa bersembunyi, saya sempat hubungi balai polis untuk laporkan kejadian,” katanya yang pengsan kerana terlalu lama duduk meringkuk di bilik berkenaan.

Seorang orang awam yang dijadikan tebusan, Norshuhada Mohd Razali, 21, berkata, ketika kejadian, dia kebetulan naik ke salun di tingkat satu hantar wang baki seorang pekerja yang membeli roti di kedainya.

“Bila saya masuk, lelaki itu terus letakkan pistol di kepala saya dan tahan saya bersama tebusan lain,” katanya yang merayu dilepaskan tetapi tidak diendahkan penjenayah terbabit. - Sinar Harian

Nik Aziz kata salah Umno sebab tolak Islam ambil kebangsaan. tak percaya try tanya, maknanya PAS di Kelantan ni tak berfungsi, semakin hari  jenayah di Kelantan semakin teruk.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan komentar anda untuk dikongsi.

Blog Archive

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...