Najib: Pengajian Sekolah Pondok Mesti Dipertahankan

KUALA LUMPUR - Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata institusi pondok mesti dipertahankan kerana ia menjadi benteng dalam mempertahankan identiti Melayu-Islam di rantau ini.

"Ia berfungsi untuk mempertahankan sistem nilai dan kehidupan umat Melayu-Islam Nusantara, yang berpegang kepada ajaran Ahli Sunnah Wal Jamaah," katanya.

Beliau berucap di majlis ramah mesra bersama warga pondok dan pelancaran Yayasan Pembangunan Pondok Malaysia (YPPM) di sini, Khamis.

Najib menarik perhatian bahawa sistem pondok memenuhi maqasid atau matlamat syariah termasuk agama, kemanusiaan, pembangunan ekonomi, pendidikan dan keamanan.

Ia mesti dipertahankan kerana sebagai ilmu yang disalurkan oleh institusi pondok boleh diguna dan dirujuk untuk menangani pelbagai serangan ilmiah dan trend pasca-modenisme yang sedang berlaku, katanya.

Najib berkata dalam menghadapi isu kebebasan mutlak, rasionalisme tanpa had, sekularisme, liberalisme dan pluralisme agama, "hujah daripada teks pondok adalah lebih mantap."

Menurut beliau, banyak buku karya besar diambil daripada teks pondok dan dibaca oleh orientalis Barat dan musuh-musuh Islam.

Justeru, beliau berkata para ulama dan intelek Islam perlu berdiri dalam satu saf bagi melahirkan pemikiran Islam yang kukuh dan penghujahan yang mantap serta meyakinkan bagi menghadapi musuh.

Pada majlis itu, Najib, yang juga penaung YPPM mengumumkan geran RM100,000 bagi penubuhan sebuah pusat sumber di ibu pejabat yayasan itu.

Beliau berkata geran itu harus digunakan untuk mengumpul bahan-bahan ilmiah, manuskrip dan jurnal, serta sebarang penerbitan atau catatan berkaitan sejarah pondok, ulama pondok dan karya-karya mereka.

Najib turut mencadangkan supaya pengurusan yayasan itu turut memberikan bantuan kewangan atau biasiswa kepada pelajar pondok yang cemerlang yang mungkin menghadapi masalah kewangan untuk melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi tempatan atau luar negara.

Pada majlis itu, Najib turut menyampaikan anugerah Tokoh Pondok 2012 kepada tiga tokoh iaitu Mohd Zain Abu Bakar, mudir Pondok Darul Hanan Lambor, Wakaf Bharu, Tumpat, Kelantan.

Selain Ahmad Shazali Ahmed Fauzi, mudir Pondok Fauzi, Kampung Yan Kechil, Yan, Kedah dan Sobri Othman, mudir Madrasah al-Ulum ad-Diniah al-Usmaniah atau lebih di kenali sebagai Pondok Tanjung Kapor, Jitra, Kedah.

Najib juga menyampaikan anugerah Pondok Contoh 2012 kepada Maktab Pengajian Islam Kedah atau Pondok Hutan Palas, Kedah, Yayasan Darul Hanan, Pondok Tok Selehor, Palekbang, Tumpat, Kelantan dan Madrasah Miftahul Muarif, Muar, Johor. serta melancarkan direktori pondok yang menyenaraikan 110 pondok agama di negara ini.

Terdahulu, Perdana Menteri turut menunaikan solat Asar berjemaah di Masjid Taman Bukit Indah bersama warga pondok serta penduduk di kawasan berkenaan. - Bernama

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan komentar anda untuk dikongsi.

Post a Comment

Blog Archive

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...