Nasharuddin Sarankan Nurul Izzah Bertaubat

PETALING JAYA - Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) disaran bertaubat dan menarik balik kenyataannya berhubung kebebasan beragama bagi orang Melayu di negara ini.

Saranan dibuat bekas Timbalan Presiden Pas Nasharudin Mat Isa yang menyifatkan kenyataan tersebut sebagai kenyataan besar dan memberi implikasi serius jika digunapakai oleh orang Melayu.

"Dalam hal ini saya menyarankan supaya Nurul Izzah menarik balik kenyataan itu. Dalam Islam apabila kita melakukan kesalahan, dan apabila kita sedar kita tersilap, kita boleh membetulkannya, bertaubat di atas kesalahan kita dan Allah SWT pasti menerima pengampunan kita kerana Allah SWT itu Maha pengampun Lagi Mengasihani," katanya dalam satu wawancara yang disiarkan dalam akhbar Mingguan Malaysia, pada Ahad.

Katanya, isu ini dianggap serius kerana melibatkan perkara asas Islam dan Nurul Izzah harus bertanggungjawab.

Sambil menyifatkan kenyataan Nurul Izzah sebagai bercanggah dalam Islam dan Perlembagaan, beliau berkata ia juga boleh menimbulkan kekeliruan besar dalam masyarakat.

"Pertama, ia bercanggah dengan prinsip asas 'Akidah dan Syariah Islam'.

"Kedua, ia tafsiran peruntukan yang terdapat di dalam Perlembagaan Persekutuan," katanya.

Nasharudin berkata dalam kes ini Nurul Izzah telah mentafsirkan ayat tidak kena pada tempatnya dan telah membuat tafsiran yang salah.

Tambahnya, Nurul Izzah mentafsirkan ayat ke- 256 surah al-Baqarah yang bermaksud 'Tiada paksaan dalam agama' untuk ke arah sebagaimana yang telah beliau ucapkan.

Menurut Nasharudin, ayat 'Tiada Paksaan dalam agama' itu hanya terpakai kepada orang bukan Islam yang disepakati seluruh Ahli Tafsir Islam tanpa khilaf.

"Tafsiran bermaksud selagi mana seseorang itu bukan Islam, kita sebagai Muslim tidak ada hak sedikit pun untuk memaksa dia memeluk Islam.

"Namun, apabila orang Islam itu sudah menjadi seorang Muslim maka ayat ke-36 surah al-Ahzah terpakai ke atasnya sebagai Muslim," katanya.

Ayat ke-36 surah tersebut bermaksud "Tidak boleh bagi orang yang beriman lelaki dan perempuan apabila telah ditentukan oleh Allah dan Rasul-Nya tentang satu urusan mereka tidak ada hak untuk memilih..."

Mengulas mengenai cubaan menjawab balik Ahli Parlimen Lembah Pantai berkenaan dengan menyalahkan pihak tertentu, kononnya kenyataan disalahpetik dan disalahtafsir, Nasharudin mengaitkannya dengan kaedah penting yang oleh pakar-pakar dan sarjana Islam iaitu meletakkan hukum dengan perkara yang zahir.

"Dalam konteks kenyataan Nurul Izzah secara zahirnya dan berdasarkan pengamatan yang kita semua dapat lihat dan dengar, beliau menyebut dengan jelas dan bermaksud untuk memberikan kebebasan kepada orang Melayu memilih agama atas prinsip kebebasan manusia untuk membuat pilihan," katanya.

Dalam pada itu Nasharudin turut menunggu 'keberanian' kepimpinan tertinggi Pas memberikan kenyataan dan pandangan terhadap kenyataan Nurul Izzah.

"Saya amat yakin Pas berani untuk menyatakan pendiriannya sebab aliran pluralisme agama, aliran liberalisme merupakan dua aliran yang ditentang hebat oleh Pas.

"Dalam konteks ini saya pasti mungkin dalam tempoh terdekat ini ada pimpinan terkanan Pas akan membuat kenyataan dan saya juga dapat merasakan ini akan menjadi topik yang akan diketengahkan oleh para perwakilan dalam Muktamar Tahunan Pas Ke-58 minggu depan," katanya. - Mstar

2 comments:

  1. jikalau islam menjadi keutamaan dan bukan politik menjadi keutamaan ... inilah nasihat yang sewajarnya diberikan ... islam itu menyeluruh dan meliputi politik ... tetapi islam bukan untuk dipolitikan ... sebaliknya politik hendaklah diislamkan ... kepentingan islam mendahalui segala tindakan ... muslihat kafirun hendaklah dikaji dan difaham ... sebelum melompat tak ketahuan ...

    ReplyDelete
  2. ini lah yang di namakan fitnah agama...dan memfitnah kalam allah.hukum nya dan balasan di akhirat nanti sila rujuk ulamak yg murtabar tak berani aku nak ckp,

    ReplyDelete

Tinggalkan komentar anda untuk dikongsi.

Blog Archive

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...