"Hargailah dan pertahankan kemerdekaan negara kerana azab hidup pada zaman penjajahan masih berbekas parutnya hingga ke hari ini."
Demikianlah pesanan tokoh politik negara, Tan Sri Aishah Ghani, 79, apabila bercakap mengenai nikmat kemerdekaan.
"Saya sangat bertuah kerana dikurniakan suami yang sangat baik dan bertanggungjawab" Bagaimanapun, beliau mengakui walaupun peperangan membawa kesukaran hidup tetapi ia adalah permulaan kesedaran untuk mempertahankan negara, agama dan bangsa daripada penjajahan.
Azab zaman Jepun
“Azab zaman Jepun apabila tiada makanan kerana beras mahal. Mahu beli beras duit tiada, ubi kayu dan keledek jadi pengganti dengan berlauk daun ubi.
“Ketika itu, ramai yang jual lembu dan dapat duit berguni tetapi akhirnya apabila Jepun kalah, duit batang pisang itu tidak laku dan ramai penduduk kampung jadi gila,” katanya.
Katanya, apabila British menjajah, ramai rakyat yang mahu Jepun masuk ke negara ini kerana kononnya apabila Jepun menjajah, semuanya murah tetapi lebih teruk kerana didera.
“Suri rumah dulu apabila mahu menidurkan anak dengan dodoian, apabila tentera Jepun lalu dan dengar mereka akan masuk ke rumah dan pukul wanita dengan kayu serta mengerahkan mereka bekerja,” katanya.
Aishah berkata, beliau mula menceburi politik apabila bekerja dengan lidah rasmi Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM), Pelita Malaya yang berpejabat di Jalan Tunku Abdul Rahman.
Tak yakin PKMM
“Pembabitan saya dalam politik bermula apabila dilantik sebagai Ketua Wanita Angkatan Wanita Sedar (AWAS), sayap PKMM pada 1945.
“Setahun selepas itu, saya keluar PKMM kerana tidak yakin dengan perjuangan parti itu yang lebih banyak mempunyai pengaruh komunis.
“Walaupun saya sangat muda ketika itu, tetapi ketika di Indonesia saya banyak membaca dan tahu pengaruh komunis boleh membawa kepada huru-hara,” katanya yang menyertai UMNO pada 1948 dan terus aktif sehingga beberapa tahun kebelakangan.
Kita sering mendengar ungkapan di belakang kejayaan lelaki adalah wanita, bagi Aishah pula, kejayaannya dalam semua bidang diceburinya terutama politik adalah atas dorongan suaminya, Allahyarham Abdul Aziz Abu Hassan.
“Suami menggalakkan saya menyertai Radio Malaya, ketika itu wanita bekerja tidak ramai. Pada 1963, selepas dilantik sebagai Senator, suami menghadiahkan kereta Mercedes sedangkan beliau hanya menggunakan kereta Honda,” katanya yang dikurniakan empat cahaya mata dan 13 cucu serta 13 cicit.
Terima surat setiap hari
Kasih sayang menebal suaminya terhadap dirinya turut dipamerkan dengan kiriman surat yang diterimanya setiap hari selama empat tahun pengajian dalam bidang kewartawanan di London yang diposkan dari Malaya mulai 1955 hingga 1959.
Malah, tanpa segan silu Aishah memberitahu suaminya adalah cinta pandang pertama dan menyifatkan Allahyarham sebagai anugerah satu dalam sejuta.
Membelakangi adat ketika itu yang anak gadis perlu berkahwin seawal usia 11 tahun dan perlu patuh kepada pilihan keluarga, Aishah hanya berkahwin ketika usia mencecah 23 tahun, umur yang dikira agak lewat pada zaman itu dan memilih cinta hatinya sebagai teman hidup.
“Saya sangat bertuah kerana dikurniakan suami yang sangat baik dan bertanggungjawab. Bayangkan ketika di London selama empat tahun, suami yang menjaga anak di tanah air, kos pengajian dan sara hidup di sana ditanggung suami yang ketika itu bertugas sebagai pekerja biasa di Radio Malaya,” katanya yang kehilangan kekasih hatinya yang menemui Penciptanya sejak enam tahun lalu.
Bertemu suami di Padang
Menyingkap kisah cintanya, Aishah menjelaskan beliau bertemu kali pertama dengan suaminya di Padang, Sumatera.
Aishah berkata beliau menghabiskan zaman kanak-kanak di Hulu Langat tetapi sebaik umur mencecah 12 tahun beliau dihantar ke Padang Panjang, Sumatera, untuk meneruskan pengajian di Sekolah Diniyah Puteri, Padang Panjang, Sumatera.
“Selepas menghabiskan pendidikan dalam Darjah Lima (tahap paling tinggi ketika itu), saya mahu menyambung ke sekolah menengah tetapi ketika itu hanya ada Sekolah Convent Kajang, tetapi pada zaman itu anak Melayu tidak dihantar ke Convent kerana ia dianggap sekolah mubaligh dan kafir,” katanya.
Jelasnya, ketika berusia 11 tahun, beliau diterima sebagai guru pelatih di Sekolah Bukit Raya dengan gaji RM15 sebulan dan tidak lama kemudian diarah bertukar sekolah ke Jenderam tetapi tidak dibenarkan bapanya.
Mogok lapar
“Pada masa itu, saya tahu jika berhenti tentunya hanya duduk di rumah dan tunggu pinangan. Saya berkeras dan mogok tidak mahu makan, rela mati daripada berkahwin, akhirnya atas pujukan kakak dan abang, bapa bersetuju menghantar saya ke Padang,” katanya.
Beliau berkata perjalanan selama empat hari menaiki kapal dan bas barulah beliau tiba di sekolah itu. Selepas tamat pengajian, beliau meneruskan pengajian ke Maktab Perguruan Islam Padang sehingga berusia 20 tahun.
“Saya tidak menamatkan pengajian kerana terpaksa pulang ke Malaya kerana perang tercetus. Ketika perang, saya terperangkap di Padang, bapa tidak mengirimkan wang sudah berbulan-bulan.
“Pada 1942, suami yang berasal dari Kuala Lumpur mengajar bahasa Inggeris di INS, Padang dan meminta kakak angkat saya mencarikan mana-mana gadis Malaya untuk disunting. Kali pertama bertentang mata, pada 1 Januari tahun itu, saya rasakan inilah jodoh saya,” katanya.
Bagaimanapun, mereka tidak terus kahwin kerana selepas itu, Abdul Aziz dihantar ke Singapura sebagai buruh paksa dan hubungan mereka terputus. Selepas beberapa tahun, beliau mencari Aishah dan mereka berkahwin pada 1946.
Rahsia sihat, cergas
Ditanya mengenai rahsia kesihatan dan kecergasan serta kuat ingatannya, beliau berkata setiap apa yang dilakukan perlu ada kemahuan dan kejujuran.
“Alhamdulillah, ingatan saya masih kuat. Akal perlu sering digunakan, jika tidak berfikir dan membaca memang sering lupa. Petua untuk terus sihat hati kena bersih dan penyayang.
“Keluarga adalah aset terpenting dalam hidup saya. Kehidupan saya kini berkisar keluarga, kami sering berkumpul dan bersyukur kerana anak cucu menyayangi diri ini.
“Saya tidak mahu susah dan bergantung kepada anak-anak,” katanya yang masih ke pejabat Koperasi Jaya Murni setiap hari.
PROFIL: Tan Sri Aishah Ghani
Lahir: 15 Disember 1923
Asal: Sungai Serai, Hulu Langat, Selangor
Pendidikan: Sekolah Melayu Bukit Raya, Cheras, Sekolah Menengah Diniyah Puteri, Padang Panjang, Sumatera Barat Maktab Perguruan Tinggi Islam, Padang, Sumatera. Politeknik Regent Street London (Kewartawanan)
Suami: Allahyarham Abdul Aziz Abu Hassan
Anak: 4 orang, 13 cucu dan 13 cicit.
Pengalaman: Wartawan Pelita Malaya (lidah rasmi Parti Kebangsaan Melayu Malaya), Ketua Wanita Angkatan Melayu Sedar (AWAS), Radio Malaya, Wartawan Berita Harian dan penyunting New Straits Times, Senator wanita pertama Malaysia, Wanita pertama Malaysia wakil ke Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu
Jawatan: Ketua Wanita Umno, Menteri Kebajikan Masyarakat, Pengerusi Tetap Wanita Umno, Pengerusi Koperasi Jaya Murni.- Berita Harian
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan komentar anda untuk dikongsi.