Balak Licin Di Kelantan Tidak Setara Dengan Pembangunan

KOTA BHARU - Umno Kelantan menyelar tindakan Kerajaan Negeri yang ditadbir Pas dilihat tidak memiliki kemampuan untuk mentadbir Kelantan secara baik, sebaliknya hanya pandai bersikap menuding jari menyalahkan pihak lain berhubung isu yang masih membebani rakyat negeri ini.

Ketua Penerangannya, Datuk Dali Husin berkata, berdasarkan kedudukan geografi, negeri ini mempunyai hasil balak banyak yang boleh digunakan untuk membangunkan negeri ini dengan pesat.

Bagaimanapun, beliau berkata, faktor kelemahan pentadbiran Kerajaan Negeri merancang ekonomi negeri secara efisien menyebabkan pembangunan di Kelantan terhad di samping taraf ekonomi rakyat tergugat akibat kekurangan peluang pekerjaan.

“Sebenarnya jikalau kita melihat kedudukan geografi kita dengan jumlah nilai balak yang banyak namun telah pun habis. Sepatutnya negeri ini kaya raya, tetapi negeri kita jatuh dalam keadaan yang begitu pembangunan terbatas dan tidak mampu membela nasib rakyat.

“Situasi ini tentu sebab ada kepincangan dalam kepimpinan dalam Kerajaan Negeri. Mereka lebih pentingkan soal politik dan ceramah sebagaimana meletakkan kesalahan kepada pihak lain, tidak ada sikap tanggungjawab, contohnya isu air sekarang ini mereka meletakkan faktor kemarau pula,” katanya.

Beliau berkata kepada Sinar Harian selepas Majlis Sumbangan Buah Kurma, Air Zam-zam dan Kain Jubah kepada 104 buah Madrasah dan Masjid dari seluruh Parlimen Pengkalan Chepa di sini, semalam.

Dali berkata demikian ketika mengulas kenyataan Pengerusi Majlis Pimpinan PKR Kelantan, Abdul Aziz Kadir yang mendakwa Umno cuba mempolitikkan isu tuntutan royalti minyak Kelantan kerana takut kehabisan isu untuk dimainkan bagi menghentam Kerajaan Negeri menjelang Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13).

Dalam kenyataan itu, Abdul Aziz menyatakan Umno bimbang Kerajaan Negeri memiliki sumber kewangan mencukupi bagi menyelesaikan segala masalah yang membelenggu terutama isu air sekiranya Kerajaan Pusat menyegerakan bayaran tunai royalti minyak yang tertunggak itu.

Dali menafikan dakwaan itu kerana ia bukan soal ketandusan isu tetapi Kerajaan Pusat cuba untuk mencapai ketelusan dalam pembayaran tunai royalti minyak melalui penubuhan jawatankuasa khas yang dianggotai pakar undang-undang.

Selain itu, Dali berkata isu kekurangan peruntukan dalam Kerajaan Negeri yang ditadbir Pas sepatutnya tidak perlu ditimbulkan memandangkan Kerajaan Pusat turut memberi bantuan kewangan kepada negeri ini.

Katanya, bagi menangani isu bekalan air bersih yang melanda negeri ini Kerajaan Pusat telah memberi peruntukan sebanyak RM600 juta untuk menangani isu tersebut.

“Banyak sebenarnya peruntukan Kerajaan Pusat bagi kepada Kelantan tetapi banyak perkara Kerajaan Negeri tidak dapat selesaikan misalnya masalah air ini. Dalam erti kata lain Kelantan sekarang ini bukan kerana tidak mampu disebabkan ketiadaan dana tetapi apa yang berlaku adalah disebabkan ketidakmampuan Kerajaan Negeri mentadbir Kelantan. - Sinar Harian

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan komentar anda untuk dikongsi.

Blog Archive

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...