Jangan Buat Perubahan Yang Belum Pasti Kebaikannya - Najib

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini meminta rakyat supaya tidak membuat 'perubahan' yang belum pasti menjamin kemakmuran dan kesejahteraan kepada mereka.

Bukan semua perubahan membawa kepada sesuatu yang baik, kata Najib sambil mengingatkan supaya rakyat tidak menukarkan sesuatu yang mereka boleh bergantung harapan daripada memberi kepada pihak lain yang ternyata belum terbukti rekod perkhidmatannya.

"Kita mestilah berpegang kepada sesuatu yang kita tahu, Insya-Allah kita (kerajaan BN) akan membawa kepada keadaan yang lebih baik pada masa akan datang," kata Najib ketika berucap pada majlis rumah terbuka Aidilfitri yang dihoskan beliau dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor di Taman Tasik Sultan Abu Bakar dekat sini, hari ini.

Najib mengingatkan rakyat supaya jangan mudah termakan janji manis pembangkang yang ternyata gagal mentadbir empat buah negeri yang dimenangi selepas pilihan raya umum 2008.

Katanya tidak semua perubahan yang dijanjikan akan memberi kebaikan kepada rakyat namun kerajaan pimpinan BN sejak era Tunku Abdul Rahman telah membawa pelbagai perubahan yang kini dinikmati oleh rakyat.

"Kita tak boleh tukar kerajaan sebab (semata-mata) sudah sampai masa kita (perlu) buat perubahan, tapi (sebaliknya) kita (BN) bukan nak bawa perubahan tapi nak sesuatu yang lebih baik.

"Tidak semestinya (semua) perubahan itu membawa kepada kebaikan ada juga membawa kepada sesuatu yang tidak dijangka malah lebih buruk dari apa yang kita kecapi hari ini," katanya.

Kerajaan BN sekarang meneruskan kesinambungan perjuangan pemimpin-pemimpin sebelum ini dalam usaha menambah nilai dan membina perubahan yang lebih baik untuk mencapai Wawasan 2020.

Beliau berkata negara maju pun jika tidak ditadbir dengan baik dan gagal membina kekayaan baru ia juga akan runtuh dan menyebabkan ekonomi negara mereka gawat seperti yang berlaku di beberapa negara Eropah yang mengalami masalah pengangguran dan kemelesetan ekonomi.

"Hakikatnya kita tak boleh terima bantuan demi bantuan tanpa memikirkan macam mana nak mencipta dan menjana kekayaan...negara yang bagi bantuan tanpa jana pndapatan baru, ekonomi negara akan menghadapi masalah," katanya.

Tengku Mahkota Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah adalah di antara lebih 70,000 tetamu menghadiri majlis rumah terbuka Perdana Menteri itu.

Turut hadir Menteri Besar Datuk Seri Adnan Yaakob dan barisan kepimpinan negeri. - Bernama

1 comment:

  1. memang benar.... macam alam rumah tangga.... ceraikan bini lepas tu kawin lain dengan harapan bini yang baru tu lebih baik dari bini lama .... silap haribulan.... lagi terok dari bini lama ..... masa bercinta... memang semua nya indah ....

    ReplyDelete

Tinggalkan komentar anda untuk dikongsi.

Blog Archive

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...